Ribuan 'lampu raya' terangi Felda Kota Gelanggi Dua

Ribuan ‘lampu raya’ terangi Felda Kota Gelanggi Dua

SEBUAH keluarga bersantai di hadapan rumah yang diwarnai hiasan dan cahaya lampu di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk Felda Kota Gelanggi Dua di sini bukan sahaja tidak kisah mengeluarkan belanja membeli baju dan kuih raya malah turut menyediakan bajet tambahan menceriakan kediaman masing-masing dengan memasang ‘lampu raya’ dalam tempoh 10 hari terakhir Ramadan.

Sebanyak 450 rumah di tanah rancangan itu menyertai Pertandingan Lampu dan Pelita Raya sempena malam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pertandingan anjuran pengurusan Felda Kota Gelanggi Dua, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Gerakan Persatuan Wanita (GPW), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) itu menawarkan hadiah pertama RM200, kedua (RM150), ketiga (RM100) dan dua hadiah sagu hati masing-masing cuma RM50.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Naiemah Md. Isa, 40, berkata, dia menyahut cabaran penganjur untuk menyertai pertandingan tersebut semata-mata teruja untuk memeriahkan malam sambutan hari raya, bukan disebabkan hadiah kemenangan.

“Saya berbelanja RM400 untuk menyediakan peralatan seperti lampu warna-warni, cat dan sebagainya, manakala hasil usaha dan kreativiti hiasan dibantu oleh anak siap dalam tempoh dua minggu sebelum ini,” katanya di sini semalam.

Kata Naiemah, sudah lama pertandingan itu tidak dianjurkan yang mana penganjuran semula tahun ini membolehkan semua keluarga di Felda tersebut dapat menceriakan krumah pada 10 terakhir Ramadan menjelang Aidilfitri.

Bagi pengusaha andaman majlis perkahwinan, Rozita Hamzah, 50, dia berbelanja hampir RM600 untuk membelikan cat, lampu warna-warni dan pemasangan tiang besi bagi menceriakan premis dengan cahaya lampu pada waktu malam.

“Biar berhabis (duit) sikit asalkan meriah. Lagipun suasana ini cuma setahun sekali dan saya memenuhi hasrat keluarga untuk menyertai pertandingan ini walaupun hadiahnya ‘ciput’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×