Rayuan bekas pembantu penyelidik Anwar dibatal - Utusan Malaysia

Rayuan bekas pembantu penyelidik Anwar dibatal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther berkaitan kes saman melibatkan dakwaan serangan seksual oleh Perdana Menteri di kediamannya, lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Lim Chong Fong.

Mahkamah memutuskan demikian selepas Muhammed Yusoff menarik balik rayuannya pada saat-saat akhir untuk membatalkan keseluruhan tuntutan balas Anwar.

Perayu turut menarik balik rayuan untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan Ahli Parlimen Tambun itu.

Mahkamah kemudian memerintahkan bekas pembantu penyelidik itu membayar kos RM5,000.

Muhammed Yusoff memfailkan notis rayuan tersebut pada 28 September 2022 selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya.

Terdahulu, peguam Navpreet Singh yang mewakili Anwar memohon kos RM5,000 dengan mengambil kira perayu menarik balik rayuan pada saat-saat akhir walhal pihak defendan telah menyediakan draf penghujahan bertulis.

Hujah beliau, tindakan perayu menarik balik rayuan membawa maksud dia bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.

Terdahulu, peguam Reenajit Kaur Golen yang mewakili Muhammad Yusoff memaklumkan, anak guamnya telah menarik balik rayuan itu.

Beliau berhujah, kos RM5,000 yang dipohon itu tidak munasabah kerana penghujahan bertulis tidak difailkan manakala merit rayuan tidak didengar.

Katanya, pihak perayu memfailkan rekod rayuan pada 8 Disember 2022 manakala pengurusan kes pertama pada 3 Januari lalu mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis selain menetapkan rayuan didengar hari ini.

Menurut Reenajit, hingga kini tiada penghujahan bertulis difailkan oleh kedua-dua pihak sehinggalah pihaknya memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 6 Mac lalu.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman mendakwa serangan seksual pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, di sini.

Bekas pembantu penyelidik Anwar itu selaku plaintif mendakwa Presiden PKR berkenaan, melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya, manakala beliau menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan itu.

Plaintif mendakwa akibat kejadian itu, beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, Muhammed Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sekitar September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap Muhammed Yusoff dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.

Dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu, Anwar mendakwa bahawa serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku.

Ini kerana pada tarikh yang dikatakan serangan itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sedang melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut, di sini.

Sehubungan itu, Anwar menuntut daripada Muhammed Yusoff ganti rugi umum, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN