Rayu kerajaan lulus peruntukan RM600,000 baiki PPR Krubong - Utusan Malaysia

Rayu kerajaan lulus peruntukan RM600,000 baiki PPR Krubong

RAIS Yasin meninjau kerosakan siling rumah yang bocor ketika melakukan lawatan mengejut di PPR Krubong, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan perlu segera meluluskan permohonan peruntukan RM600,000 untuk Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi kerja-kerja pembaikan Projek Perumahan Rak­yat (PPR) Krubong di sini.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pe­ngurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan itu amat diperlukan ekoran keluhan penduduk di empat blok yang berdepan pelbagai masalah kediaman.

Pihaknya menerima banyak aduan berhubung PPR Krubong yang me­ngalami pelbagai kerosakan sejak mula diduduki pada 2017.

“Aduan berkaitan kerosakan seperti mozek lantai ‘meletup’, saluran paip bocor dan masalah sampah.

“Jika peruntukan ini diluluskan segera kementerian, ia membolehkan kerja-kerja pembaikan bagi 70 unit rumah yang terjejas teruk akibat kerosakan mozek lantai serta lapisan antibocor dapat dilakukan segera.

“LPM sebelum ini memohon peruntukan RM600,000 pada Oktober lalu namun sehingga kini, masih menunggu kelulusan. Pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Jape­run) Paya Rumput telah beberapa kali memaklumkan masalah ini kepada LPM,” katanya.

Tambah Rais yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Paya Rumput, rumah-rumah yang rosak antaranya sudah berlarutan sejak dua tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN