Ramadan: Malakoff bantu komuniti

Ramadan: Malakoff bantu komuniti

ANWAR Syahrin Abdul Ajib (tiga dari kiri) mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai pada Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk Media Mulia Sdn. Bhd. bersama Malakoff di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malakoff Corporation Berhad tampil membantu komuniti melalui agihan bubur lambuk, pemberian zakat, wakalah dan aktiviti berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Program kemasyarakatan itu dianjurkan di kawasan berhampiran pejabat Malakoff di empat negeri iaitu Mukim Serkat, Johor; Kuala Lumpur; Lumut, Perak, dan Prai, Pulai Pinang.

Malakoff turut mengadakan program seperti berbuka puasa bersama anak yatim dan masyarakat setempat bagi meraikan mereka.

Syarikat itu juga membuat kutipan derma daripada staf untuk disalurkan kepada anak yatim, ibu tunggal dan masyarakat yang memerlukan agar dapat meringankan beban golongan itu.

Isnin lalu, sekitar 1,000 penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur dapat menikmati bubur lambuk percuma yang diedarkan Media Mulia Sdn. Bhd. dan Malakoff.

Program itu diselitkan sentuhan alam sekitar. Kedua-dua syarikat mengedarkan bubur lambuk dan beg kitar semula untuk menggalakkan masyarakat menggunakannya apabila mereka membeli-belah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, mereka mengadakan edaran bubur lambuk dan beg kitar semula itu sebagai cara memberi kembali kepada masyarakat.

“Aktiviti itu memberikan manfaat kepada semua pihak termasuk penganjur kerana dapat bersedekah kepada komuniti.

“Jika diberi peluang, kami akan mengadakan aktiviti seperti itu lagi kerana Malakoff gembira menganjurkan program kemasyarakatan dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya semasa melancarkan program agihan bubur lambuk di Kampung Baru.

Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohd. Azlan Jaafar berkata, Media Mulia akan bekerjasama dengan satu syarikat untuk menyambut Ramadan pada setiap tahun.

Malakoff menjadi rakan kerjasama untuk membantu masyarakat setempat bagi tahun ini.

“Media Mulia berterima kasih kepada Malakoff kerana kerjasama ini. Walaupun cuaca panas, mereka tetap keluar mengedarkan bubur itu kepada orang ramai,” katanya.

Penduduk Kampung Baru, Zaidi Nasir, 55, menyifatkan program itu sebagai ganjaran sedekah kepada penderma kerana memberi manfaat kepada orang ramai.

Jelasnya, walaupun pemberian bubur lambuk itu memberi keutamaan kepada penduduk setempat, namun pengunjung luar juga dibenarkan mengambil bubur tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN