PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan bahawa sekiranya rakyat terus membuat pendedahan dan tekanan kepada Kerajaan Perpaduan, ia akan membawa manfaat kepada semua pihak.
Merujuk kepada isu artis digam daripada oleh saluran kerajaan, Wan Saiful berkata, Pakatan Harapan-UMNO tidak boleh dibiar bermaharajalela menggunakan kuasa dan agensi-agensi kerajaan untuk menutup mulut mereka yang mempunyai pandangan berbeza.
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata, rakyat perlu bangkit menolak kezaliman dan terus menyuarakan isu-isu rakyat demi kebaikan semua.
“Pagi ini saya dapat makluman bahawa Dayangku Intan (penyanyi) sudah dihubungi dan dimaklumkan bahawa persembahan beliau kini akan disiarkan. Gambar dalam poster yang sebelum ini dipadam pun dah dimasukkan semula.
“Saya harap perubahan ini benar dan tidak berlaku pemotongan saat akhir. Perubahan keputusan ini dilakukan setelah rakyat bangkit menolak kezaliman yang cuba dilakukan untuk menggam artis tertentu disebabkan ‘latar belakang’ mereka.
“Secara khusus, saya hargai tindakan segera netizen yang rata-rata turut mengkritik percubaan untuk gam artis,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan Perpaduan digesa untuk tidak menyekat persembahan artis-artis tertentu daripada disiarkan di semua saluran Radio Television Malaysia (RTM).
Ini selepas Wan Saiful mendedahkan terdapat cubaan menyekat persembahan artis tertentu daripada disiarkan di RTM, ini apabila pegawai-pegawai saluran penyiaran nasional diarah membuat pemeriksaan latar belakang terlebih dahulu sebelum dijemput membuat penampilan. – UTUSAN