Profesor wanita Melayu pertama meninggal dunia

Profesor wanita Melayu pertama meninggal dunia

ALLAHYARHAM FATIMAH HAMID DON - GAMBAR PUSAT KAJIAN KECEMERLANGAN MELAYU UM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Profesor wanita Melayu pertama, Puan Sri Prof. Dr. Fatimah Hamid Don dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit strok awal pagi ini.

Allahyarham  berusia 89 tahun yang pernah menjadi Dekan di Universiti Malaya sekitar 1975 dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, pada pukul 2.35 pagi.

Jenazah Fatimah djangka dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14 Petaling Jaya, Selangor pagi ini untuk dimandi dan dikafankan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya, untuk dikebumikan selepas solat Zohor.

Tokoh pendidikan itu yang berasal dari Batu Gajah, Perak memperoleh Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) dari Universiti California, Amerika Syarikat pada 1971.

Pada awalnya, beliau menjadi guru sementara di beberapa sekolah rendah dan menengah (1952-1954) dan berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Pelajaran (1956). Pada tahun yang sama, beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Geografi (1956) dari UM, Singapura. 

Beliau kemudiannya berangkat ke London dan memperoleh Diploma Fonetik dan Linguistik serta sijil Fonetik Inggeris dari African Studies, University of London (1958). 

Sekembalinya ke Kuala Lumpur, beliau berkhidmat sebagai guru bahasa (fonetik) dan penterjemah di Pusat latihan Harian (1958). Beliau kemudiannya dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa (1959-1964). 

Minat yang mendalam terhadap bidang pendidikan telah mendorong beliau mendapatkan Diploma Pendidikan di UM, Kuala Lumpur (1964). Beliau seterusnya ke Los Angeles untuk mendapatkan ijazah Sarjana (Geografi) di University Southern California (1968) dan ijazah kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) pada 1971. 

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah (1972) di Fakulti Pendidikan, UM dan dinaikkan pangkat kepada Prof Madya (1974) serta dilantik menjadi Dekan (1975). 

Kemudiannya, beliau dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum merangkap Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus merupakan wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi profesor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN