PRN: UMNO sukar dapatkan sokongan orang Melayu?

PRN: UMNO sukar dapatkan sokongan orang Melayu?

UMNO perlu bekerja keras untuk menarik kembali sokongan orang Melayu menjelang PRN nnti. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO diramal sukar me­raih sokongan orang Mela­yu dalam tempoh terdekat termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka memihak Perikatan Nasional (PN).

Pemerhati politik berpendapat, masih tidak nampak usaha-usaha daripada UMNO yang lebih berkesan dalam menarik sokongan Melayu yang masih dingin dengan parti berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik yang juga pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Uni­versiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, UMNO bakal berdepan masalah cukup besar khusus­nya dalam mendepani PRN jika masih gagal menarik sokongan orang Melayu.

MUHAMMAD IZMER YUSOF

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk sehingga kini, trend sokongan Melayu terhadap PN khususnya di kawasan majoriti kaum tersebut semakin kukuh dan terus bertambah dengan sokongan pengundi-pengundi baharu.

“Sejak UMNO kalah (PRU15) namun masih kekal berkuasa di dalam kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), kita masih tidak nampak sebarang usaha atau agenda yang lebih berkesan dalam mengembalikan soko­ngan Melayu khususnya terhadap parti itu.

“Apa yang dilihat banyak tindakan yang lebih kepada me­ngukuhkan posisi presiden dan kita tidak nampak sebarang ‘post mortem’ kenapa UMNO kalah teruk pilihan raya dan ditolak oleh orang Melayu sendiri,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia me­laporkan, peranan UMNO me­narik sokongan orang Mela­yu masih tidak jelas memandang­kan peranan tersebut kini dimainkan oleh PN.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Aziz Bari dilaporkan berkata, ia berdasarkan rekod PRU15 apabila pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Kata Aziz Bari, UMNO dilihat hanya menumpang kepada kekuatan PH kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.

Rekod PRU15 sebelum ini menunjukkan prestasi cemerlang PN dengan meraih sokongan Melayu khususnya di luar bandar terhadap PN.

Malah, beberapa kerusi tradisi UMNO juga banyak yang tewas sehingga beberapa negeri tersungkur ke tangan PN.

Mengulas lanjut, Muhammad Izmer berkata, antara faktor mengapa UMNO ditolak orang Melayu antaranya disebabkan gagal mengekalkan Muafakat Nasional (MN) sebagai platform perpaduan ummah.

“Kegagalan ini dilihat cukup besar dan memberi kesan memandangkan Melayu dilihat kuat dibawah penyatuan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya.

Sementara itu, katanya, kerjasama UMNO dan PH dalam mendepani PRN juga dilihat bakal memberi cabaran khususnya dalam soal pengagihan kerusi calon bertanding.

Katanya, adakah UMNO akan bertanding di semua kerusi kawasan Melayu manakala PH pula di kawasan majoriti pengundi Cina? – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×