Polis rampas dadah RM5.5 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas dadah RM5.5 juta

MOHD. Yusri Hassan Basri (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di Pantai Remis Sabtu lalu pada sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kegiatan sindiket dadah menjadikan dua buah rumah di Pantai Remis, Manjung sebagai makmal memproses dan membungkus dadah jenis pil ecstasy terbongkar selepas diserbu polis, Sabtu lalu.

Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah seberat 79.6 kilogram (kg) bernilai RM5.5 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 7 pagi di sebuah taman perumahan di Pantai Remis, seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia 32 hingga 39 tahun ditahan.

Katanya, dalam serbuan itu, sebanyak 245 biji pil ecstasy dengan anggaran berat 100 gram dan 1.2kg serbuk disyaki dadah jenis Ecstasy ditemukan.

“Turut dirampas dalam operasi di rumah sewa suspek terbabit ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah.

“Ekoran tangkapan itu, satu serbuan susulan dilakukan di kawasan Panchor, Pantai Remis pada pukul 3.30 petang di mana sebanyak 11,838 biji pil ecstasy dengan anggaran berat 5.6kg dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di rumah tersebut menjumpai 38.3kg serbuk disyaki dadah jenis ecstasy, 31.3kg cecair disyaki ecstasy, 2kg daun-daun kering disyaki ganja, ketulan kristal disyaki dadah methamphetamine seberat 844 gram dan dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 162 gram.

Katanya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita tiga buah kenderaan iaitu sebuah Ford Mustang, Toyota Alphard dan Toyota Triton, seutas rantai dan sebentuk cincin dianggarkan bernilai RM763,693.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu dan tiga pekerjanya mendapati keempat-empat mereka positif dadah jenis amphethamine.

“Semakan juga mendapati suspek lelaki terbabit mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah,” katanya.

Tambah beliau, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas itu diedarkan untuk pasaran tempatan.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 258,214 penagih dadah.

“Kesemua suspek direman tujuh hari sejak Ahad lalu sehingga Sabtu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya