KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) meluahkan keyakinan mampu meraih majoriti kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi formula asas yang diguna pakai sebagai strategi.
Menurut Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, pihaknya tidak menolak antara faktor utama yang harus diteliti adalah aspek pemilihan calon itu sendiri.
“Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan calon antaranya faktor ‘Winable candidate’ selain kekuatan asas sesuatu parti dan dapatan kajian penerimaan seseorang calon.
“Bagi saya, apa yang penting ialah kesesuaian seseorang calon yang bertanding di kawasan yang sesuai dengan taburan pengundi.
“Maka kerana itulah Gerakan sejak dahulu memberi fokus kepada Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan kawasan majoriti pengundi Cina,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Selain itu, kata Tuan Ibrahim, PN juga akan meneliti semua faktor boleh menang dalam pertandingan agar sasaran untuk meraih kepercayaan rakyat tercapai.
“Bagaimanapun, satu perkara lagi, saya percaya, sebagai satu pasukan,kita perlu saling bantu- membantu dalam mana mana kawasan yang telah diputuskan oleh parti,”katanya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan di media menyebut bahawa perbincangan agihan kerusi DUN bagi PRN antara parti komponen PN sudah mencapai 80 peratus.
Tuan Ibrahim berkata, pembahagian kerusi DUN itu dibuat secara muafakat membabitkan seluruh parti komponen PN. – UTUSAN











