TUMPAT: Sepasang suami isteri dari Kampung Bendang Surau, Morak di sini menyifatkan Aidilfitri tahun ini cukup memilukan selepas tiga anak mereka maut terkena renjatan elektrik, 19 Disember lalu.
Mohd. Nadzir Mohamed, 68, dan isterinya, Zainun Sulaiman, 63, mengakui rindu mereka kepada Nurul Syazwani, 33; Sakinah, 29, dan Noor Fathiah, 27, tiada noktah apabila sering kali tersasul memanggil nama tiga beradik itu.
Mohd. Nadzir berkata, mereka berdua reda dengan pemergian tiga anak itu dan menyifatkan ia sebagai ketentuan Ilahi.
“Setiap kali Syawal, mereka tiga beradik antara yang sibuk membuat persiapan seperti menukar langsir, menyediakan biskut raya dan sehingga kini gelagat itu masih lagi segar dalam ingatan kami.
“Sejak kejadian itu, rumah ini hilang seri kerana mereka adalah tunjang yang menghidupkan suasana menerusi keletah masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Jelasnya, walaupun pelbagai jenis biskut raya dibeli, seluruh ahli keluarga tetap ‘menunggu’ kuih siput, air tangan tiga beradik itu.
Katanya, semua itu hanya tinggal kenangan yang menjadi ‘kekuatan’ mereka menyambut Aidilfitri buat kali pertama tanpa tiga beradik tersebut.
“Bagi melepaskan rindu, sepanjang 40 hari meninggal dunia, kami ziarah pusara mereka setiap hari,” katanya.
Pada 19 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan, tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik selepas seorang daripada mereka dikatakan memegang tiang rumah jiran yang ditenggelami banjir. – UTUSAN