Peter Anthony fail rayuan akhir

Peter Anthony fail rayuan akhir

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony telah memfailkan notis rayuan akhirnya berhubung sabitan dan hukuman penjara serta denda atas kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk menipu kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sekiranya gagal dalam rayuannya kali ini, Peter perlu menjalani hukuman penjara tiga tahun serta-merta.

Notis rayuan itu difailkan semalam (19 April) melalui firma guaman, Tetuan Deva & Associates. Peguam belanya, Datuk S. Devanandan ketika dihubungi mengesahkan perkata tersebut.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuan yang dikemukakan Anthony sekaligus mengekalkan sabitan salah, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Rayuan itu ditolak atas alasan pembelaan Anthony adalah sesuatu yang difikirkan kemudian dan tiada sebarang bukti yang menunjukkan saksi-saksi pendakwaan menipu kerana keterangan mereka konsisten dan tidak bercanggahan di antara satu sama lain.

Selain itu, Hakim Datuk Ahmad Bache juga mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika membuat keputusan untuk mensabitkan Peter dengan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan akhir Peter.

Mengikut pertuduhan, Peter, 52, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pada 26 Mei 2022, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen.

Hakim bicara berpuas hati, walaupun tiada keterangan langsung yang menunjukkan Peter telah memalsukan dokumen, mahkamah bergantung kepada keterangan ikut keadaan bahawa Peter memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat Timbalan Naib Canselor.

Azura dalam keputusannya menyatakan, hanya Peter mempunyai kepentingan untuk mendapatkan kontrak kerja-kerja penyelenggaraan dan bersungguh-sungguh mendapatkannya bagi kepentingan sendiri dan syarikatnya, Asli Jati Engineering. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN