Pertemuan Anwar dengan Jinping perkukuh hubungan dua hala

Pertemuan Anwar dengan Jinping perkukuh hubungan dua hala

ANWAR Ibrahim bergambar dengan Xi Jinping sebelum sesi perbincangan di Beijing, China semalam. - GAMBAR FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakar sejarah apabila dapat bertemu Presiden China, Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat, di ibu kota Beijing semalam.

Kali terakhir pemimpin Malaysia berpeluang berjumpa tokoh tertinggi China tersebut ialah pada 25 April 2019 melibatkan perdana menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, manakala penyandang sebelumnya itu, Datuk Seri Najib Tun Razak muncul sebagai paling banyak bertemu Jinping dengan enam kali direkodkan.

Justeru perjumpaan Anwar dan presiden negara itu setelah belum ada pemimpin Malaysia dapat peluang sedemikian sejak empat tahun lepas boleh dianggap sesuatu bersejarah.

Menurut kenyataan Wisma Putra, mereka berdua mengulangi komitmen mengukuhkan persahabatan dan kebetulan genap sedekad Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China tahun ini.

Jinping turut maklum mengenai imej Malaysia sebagai negara pertama di rantau ASEAN menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974 dan kini mencapai tahap tinggi.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk membina asas jalinan kukuh bahkan selaras dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2024 lalu.

Anwar juga kata Wisma Putra, menegaskan kekukuhan kerjasama ekonomi berdasarkan angka terkini dagangan serta pelbagai projek khas di bawah inisiatif jalan dan jalur China.

“Beliau turut menyambut baik pelaburan baharu dalam pelbagai sektor oleh negara itu termasuk bidang ekonomi digital, pertanian moden dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Jinping juga menekankan paradigma baharu peranan China yang lebih memfokuskan kepada kerjasama dan pembangunan bermutu selain peluang berpotensi.

Wisma Putra turut menyatakan, pemimpin itu memuji Anwar kerana melawat dan berucap di Universiti Tsinghua yang merupakan ‘alma mater’ tokoh tersebut ketika zaman remaja.

Justeru, Anwar dalam reaksinya menyambut baik usaha universiti itu membuka kampus pertama di Malaysia dan berharap ia menarik ramai pelajar China datang ke negara ini.

Ketika berucap, mereka berdua turut berkongsi nilai peradaban sama dengan menekan kepada pembangunan berteras kepentingan rakyat selain mempromosikan keamanan.

“Bahkan Jinping bersedia membolehkan Malaysia belajar pengalaman unik bagaimana cara beliau sendiri berjaya menghapuskan masalah kemiskinan tegar di China,” jelasnya.

Pada masa sama, Jinping turut memberi sokongan kepada usaha dipimpin ASEAN dalam menangani krisis politik di Myanmar setelah mendengar permasalahan dialami Malaysia.

Akhir pertemuan itu, Anwar mengucapkan tahniah atas pemilihan semula buat kali ketiga Jinping sebagai Presiden China dan mempelawa beliau untuk dapat melawat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.