KUALA LUMPUR: Kes saman berkaitan perhimpunan mengenang korban Covid-19, dua tahun lalu akan mula dibicarakan selama lima hari bermula 24 Mac 2025.
Peguam, Nur Izni Syazwani Ahmad yang mewakili 16 plaintif dalam tuntutan tersebut memaklumkan perkara itu ketika dihubungi selepas tamat pengurusan kes itu di sini hari ini.
Kes akan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Pada 30 Disember 2021, 16 peserta “Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi” telah memfailkan saman dengan menamakan lapan anggota polis yang terlibat dalan penangkapan peserta perhimpunan, Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ke-12.
Menurut afidavit yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa hak mereka sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli pihak berkuasa pada perhimpunan yang diadakan pada 19 Ogos 2021.
Selain mendakwa mereka telah ditahan secara salah, kesemua 16 plaintif mendakwa telah berlaku serangan yang tidak wajar, pelanggaran tanggung jawab berkanun dan salah laku penjawat awam pada malam perhimpunan tersebut.
Sehubungan itu, kesemua plaintif memohon pengisytiharan tindakan polis itu melanggar hak perlembagaan mereka seperti yang termaktub di bawah Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga menuntut ganti rugi am yang tidak dinyatakan jumlahnya dan pampasan RM1,000 untuk telefon bimbit yang rosak.
Dalam perhimpunan yang diadakan pada 19 Ogos 2021, seramai 31 peserta perhimpunan yang diadakan di Dataran Merdeka di sini dikenakan kompaun berjumlah RM62,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang berkuatkuasa ekoran penularan Covid-19.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya (ketika itu), kesemua mereka dikompaun RM2,000 seorang kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, kumpulan berkenaan mula berkumpul pada pukul 8 malam dan aktiviti berkenaan disedari pasukan pemantau polis.
“Mereka membakar lilin serta memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’. Polis bertindak dengan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam percakapan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tindakan menahan peserta perhimpunan itu dilakukan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – UTUSAN