KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membakar 15 buah motosikal dan skuter elektrik di Suria KLCC, minggu lalu.
Mengikut pertuduhan, Azril Kamarunzaman, 34, didakwa telah melakukan khianat dengan membakar 11 buah motosikal dan empat buah skuter elektrik pada pukul 3.30 petang, 13 April lalu di tempat meletak motosikal hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah mencadangkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Muhamad Ridzuan Umar yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya itu mempunyai tanggungan keluarga.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi kemudian menetapkan wang jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan 22 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian yang berlaku pada petang Khamis itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.45 petang.
Menurut Komander Operasi, Mohd. Iqbal Khan Malek Khan Khan kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pada pukul 4.04 petang.
Pemeriksaan mendapati sembilan motosikal dan empat skuter hangus terbakar manakala empat lagi kenderaan serupa rosak teruk akibat kejadian itu.
Seorang lelaki telah ditahan oleh pihak polis beberapa jam selepas kejadian tersebut. pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, sehelai baju dan sehelai seluar, sepasang sarung tangan, satu beg, sebuah jam tangan dan satu pemetik api. – UTUSAN