Penghakiman bertentangan buka jalan lain untuk semakan semula

Penghakiman bertentangan buka jalan lain untuk semakan semula

Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang akhbar selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Tun Razak untuk menyemak semula sabitan bersalah beliau dalam kes SRC International semalam. - FARIS RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan akan mengemukakan permohonan semakan kali kedua selepas Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd..

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, penghakiman yang dilihat bertentangan oleh Datuk Abdul Rahman Sebli dengan tiga hakim yang bersidang telah membuka satu jalan lain dalam kes tersebut.

“Akibat penghakiman minoriti, terdapat jalan lain yang dibuka. Terdapat kes yang bantahan tidak hanya dilakukan sekali.

“Selagi terdapat alasan untuk bantahan baharu, ia (semakan) boleh dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Istana Kehakiman semalam.

Terdahulu, Najib gagal dalam permohonannya untuk dapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan salah dan hukuman terhadapnya.

Sehubungan itu, ruang dan peluang untuk beliau bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. terkubur.

Keputusan itu dibuat dengan majoriti 4-1 dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan menyokong.

Abdul Rahman merupakan ketua panel menentang keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee berkata, beliau amat kecewa terhadap keputusan mahkamah yang menolak permohonan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

Beliau juga menekankan tentang kepentingan perbicaraan yang adil selepas menolak permohonan tersebut kerana mendakwa berlaku ketidakadilan dalam kes mahkamah itu.

Jelasnya, Abdul Rahman Sebli tepat apabila memetik Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan yang membenarkan mahkamah menghalang ketidakadilan dan penyalahgunaan proses perbicaraan semasa membuat penghakiman.

“Keadilan bukan sahaja untuk mengetahui sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, tetapi juga mengenai proses memberi perbicaraan paling adil.

“Proses ini sangat penting, sebab ini mungkin berlaku kepada anda (sesiapa sahaja) pada masa akan datang. Mungkin bukan anda, boleh jadi anak atau ayah anda. Jika mereka didakwa, anda mesti yakin bahawa mahkamah akan memberi proses perbicaraan yang adil,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee tidak menjawab secara jelas soalan pemberita jika Najib telah melunaskan bayaran denda RM210 juta seperti yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini.

“Bagaimana anda mahu bayar RM200 juta? RM200 juta adalah duit yang dimasukkan di dalam akaun telah dibelanja untuk amal jariah dan tujuan politik.

“Bukan untuk poket Najib. Jadi, jelas duit itu anda tidak boleh dapatkan semula sebab anda bayar ke arah kebajikan, dana politik dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN