Penganjuran Majlis Terbuka Madani cemar kemuliaan Aidilfitri - PN

Penganjuran Majlis Terbuka Madani cemar kemuliaan Aidilfitri – PN

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri bukan sahaja tersasar jauh, malah mencemarkan hari kebesaran agama apabila mempunyai motif politik demi meraih sokongan menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, retorik basi terhadap Pas dan PN sebagai parti menunggang agama untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada kerajaan Pusat sendiri yang ‘menculik’ majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasa tersendiri.

Malah katanya, majlis sambutan bersiri ini juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri-negeri daripada segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing. 

“Adalah lebih manis dan sopan sekiranya Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi dengan majlis masing-masing pihak kekal sebagai acara sambutan terbesar dan utama di peringkat masing-masing sebagai tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa itu.

“Tindakan melangkah sempadan hormat dan adab antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini, jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.

“Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk keputusan kerajaan Pusat mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bergilir-gilir di enam negeri di Semenanjung Malaysia bermula pada 29 April di Kedah dan dijadual berakhir pada 14 Mei di Selangor. 

Selain itu, majlis turut dijadual berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei); Negeri Sembilan (7 Mei); Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Selain berasa terkejut dan ralat, kata Takiyuddin, PN menyifatkan keputusan itu jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat mencolok mata selain tidak wajar dipertahankan.

“PN juga percaya majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlebih-lebihan seperti ini sangat berlawanan dengan dasar dan komitmen Putrajaya untuk berjimat cermat bagi mengukuhkan kedudukan kewangannya yang didakwa terbeban dengan hutang, salah pengurusan dan pembaziran kerajaan terdahulu. 

“Ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri di Parlimen bahawa hutang dan liabiliti kerajaan kini ialah sebanyak RM1.5 trilion atau kira-kira 82 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Menurut Takiyuddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini sering melaung-laungkan langkah utama diambil oleh kerajaan pimpinannya ialah menambah baik tata kelola kerajaan kerana kononnya sejumlah besar dana kerajaan hilang susulan kelemahan pengurusan dan ketirisan yang menyebabkan hutang menjadi lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi. 

“Kata-kata hanya akan membawa makna dan kesan sekiranya ia disusuli dengan langkah dan tindakan yang sama dan senada, bukan sebaliknya,” jelasnya.

Tambah beliau, PN juga bimbang kemungkinan berlakunya penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan dalam penganjuran majlis-majlis sambutan ini kerana motif politiknya sudah tidak boleh disorok lagi. 

Justeru itu ujarnya, kerajaan Pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diuar-uarkan selama ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata.

Sementara itu, Takiyuddin memaklumkan, pihaknya masih kecewa terhadap keputusan tidak profesional dan melanggar kontrak stesen televisyen TV3 yang membatalkan slot takbir Hari Raya PN yang dijadual bersiaran pada pukul 10.20 malam, 21 April lalu. 

“Meskipun dalam emel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan, TV3 memberitahu bahawa langkah itu terpaksa diambil kerana masalah teknikal sekali gus berjanji akan memulangkan bayaran yang telah dibuat oleh PN sebelum itu.

“Namun sebagai sebuah televisyen ternama dan veteran dalam dunia penyiaran negara, PN beranggapan insiden itu tidak harus berlaku sama sekali. Malah alasan masalah teknikal sebagai punca pembatalannya juga amatlah janggal dan tidak boleh diterima,” tegasnya.

Justeru itu, PN mendesak pengurusan TV3 dan kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Komunikasi dan Digital supaya bersikap jujur dalam isu ini sekali gus menafikan wujud campur tangan politik untuk sabotaj siaran berkenaan atas apa-apa tujuan sekali pun. 

“Integriti TV3 dan kementerian sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutamanya dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya