Penarikan cecair vape bernikotin umpama beri lesen besar

Penarikan cecair vape bernikotin umpama beri lesen besar

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penarikan cecair vape yang mempunyai nikotin daripada Akta Racun 1952 seolah-olah lesen besar membenarkan rakyat tidak mengira umur mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan.

Beliau berkata, mengeluarkan cecair vape bernikotin supaya ia boleh dikenakan cukai bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak ketika ini.

“Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada dalam senarai Akta Racun 1952.

“Akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa panjang adalah jauh lebih penting daripada keuntungan yang diperoleh hasil pungutan cukai ke atas cecair vape ini.

“Pemuda UMNO mencadangkan agar keputusan ini perlu dinilai dan ditarik semula sehingga Parlimen meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan mewujudkan generasi penamat rokok dan vape (GEG) yang lahir selepas tahun 2007,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bermula semalam.

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Jumaat lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Warta dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pula menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Tambah Muhamad Akmal, pihaknya akan menyerahkan surat rasmi untuk menyatakan bantahan serta cadangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.

“Rasional terhadap cadangan ini adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dahulu, barulah kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini daripada Akta Racun.

“Agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape di kalangan masyarakat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya