Jururawat didakwa bunuh bayi lelaki - Utusan Malaysia

Jururawat didakwa bunuh bayi lelaki

ZAHRUL Ashrik Zulkaflee didakwa membunuh bayi lelakinya pada 17 Mac lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang jururawat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya di sebuah rumah di Kampung Kepayang, Fair Park di sini, 17 Mac lalu.

Tertuduh, Zahrul Ashrik Zulkaflee, 30, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Jessica Daimis.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada bayi lelakinya berusia enam bulan 14 hari di sebuah rumah di Hala Kepayang 4, Kampung Kepayang, Fair Park di Ipoh pada pukul 10 malam, 17 Mac 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 12 Jun ini bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh ibunya berusia 26 tahun pada 8 Mac lalu selepas dilihat dalam keadaan lemah akibat muntah yang kerap.

Katanya, semasa di hospital, doktor telah memberitahu bahawa mangsa mungkin didera kerana terdapat pendarahan di otak dan kesan patah yang telah sembuh di bahagian tangan sebelah kiri.

“Mangsa yang merupakan anak bongsu dua beradik itu dibenarkan keluar wad pada 16 Mac lalu namun dimasukkan semula ke hospital dua hari kemudian.

“Mangsa bagaimanapun meninggal dunia pada 20 Mac lalu. Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian bayi terbabit akibat pendarahan bawah selaput otak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Berikutan kematian mangsa, Yahaya berkata, bapa dan ibu mangsa serta adik wanita itu telah ditangkap pada 26 Mac lalu dan direman selama 12 hari bagi membantu siasatan.

“Bapa mangsa telah dituduh di mahkamah hari ini manakala isteri dan adik wanita itu dijadikan saksi pendakwaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya