Peguam Negara bantah kebenaran semakan kehakiman Bersatu - Utusan Malaysia

Peguam Negara bantah kebenaran semakan kehakiman Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Negara membantah permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank parti berkenaan.

Bersatu turut memohon kebenaran mencabar keputusan dan larangan perjalanan oleh Jabatan Imigresen terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan ketika berhujah mewakili Peguam Negara menyatakan, perintah pembekuan akaun yang dikeluarkan oleh SPRM tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Hujah beliau, ini kerana perintah pembekuan itu merupakan amalan berkaitan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Shamsul berkata, jika amalan itu boleh dicabar menerusi semakan kehakiman, ia dikhuatiri akan membuka ruang pertikaian bagi setiap pelaksanaan siasatan yang boleh menjurus kepada gangguan ketenteraman awam.

Beliau selanjutnya berhujah, aduan berhubung akaun bank Bersatu yang dibekukan itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah jenayah.

Jelasnya, kebenaran semakan kehakiman itu perlu ditolak atas alasan akaun bank Bersatu yang dibekukan kini menjadi subjek dalam pendakwaan terhadap Muhyiddin dan sebarang aduan mengenainya merupakan bidang kuasa mahkamah jenayah.

Sehubungan itu, Shamsul menghujahkan kebenaran semakan kehakiman jika diberikan akan menyebabkan campur tangan mahkamah sivil terhadap bidang kuasa mahkamah jenayah.

Menurut Shamsul, isu mengenai larangan perjalanan terhadap Muhyiddin kini bersifat akademik kerana ia telah dibatalkan selepas pasport antarabangsa beliau ditahan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan yang mewakili pemohon-pemohon berhujah, perintah pembekuan akaun dan larangan perjalanan itu boleh dicabar dalam semakan kehakiman kerana isu-isu yang dibangkitkan bukan remeh atau menyusahkan.

Hujah beliau, responden-responden melakukan beberapa salah laku dari segi prosedur yang mewajarkan mahkamah mendengar merit permohonan semakan yang dikemukakan oleh pemohon-pemohon.

Rosli berhujah, salah laku itu termasuk berkaitan perintah pembekuan akaun dan larangan perjalanan yang dibuat bersandarkan kepada niat jahat dan menyalahi undang-undang.

Hujah peguam, perintah pembekuan akaun itu melanggar undang-undang kerana ia tidak pernah diserahkan kepada Bersatu meskipun selepas pelbagai permohonan dikemukakan sebelum semakan kehakiman difailkan.

Menurut beliau, siasatan SPRM dilakukan semata-mata sebagai asas untuk mengeluarkan perintah pembekuan akaun terhadap Bersatu dan larangan perjalanan terhadap Muhyiddin tanpa disertai asas yang kukuh.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid kemudian menetapkan keputusan diumumkan pada 17 Mei ini.

Pada 8 Mac lalu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya dan Muhyiddin bagi pihak parti berkenaan memfailkan semakan kehakiman itu melalui Tetuan Chetan Jethwani & Co.

Ia menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Pengarah Kanan Bahagian siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim; Pengarah bahagian oencegahan pengubahan wang haram (AMLA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud, selaku respoden pertama hingga keempat.

Pemohon turut menamakan 16 lain sebagai responden keenam hingga ke-20.

Menerusi permohonan itu, Bersatu mendakwa tindakan membekukan akaun CIMB Islamic Bank Bhd dan AmBank milik parti itu dilakukan dengan niat jahat.

Menurut dokumen mahkamah, Bersatu mendakwa tindakan itu adalah penyalahgunaan kuasa dan proses undang-undang dalam merencanakan siasatan serta pemangsaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu, Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Pemohon mendakwa, Muhyiddin turut dikenakan larangan perjalanan oleh responden keempat untuk mencemar nama baik dan seolah-olah beliau melakukan kesalahan dan akan melarikan diri.

Sehubungan itu, pemohon memohon perisytiharan bahawa SPRM tidak boleh mengikut arahan pemimpin parti pemerintah yang berada dalam kerajaan atau mengikut arahan perdana menteri dan/atau timbalan perdana menteri yang meminta pegawainya memulakan siasatan terhadap Bersatu, menyebabkan keluarnya perintah pembekuan yang didakwa salah.

Ia turut memohon perintah interim supaya Muhyiddin dibolehkan bergerak bebas dan membuat perjalanan ke luar negara tanpa sekatan khususnya sebagai penceramah utama di 1st Annual Conference of the Global Council for Political Renewal (GCPR) pada 14 dan 15 April ini.

Bersatu juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan perintah pembekuan yang dikeluarkan ke atas parti itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia turut memohon perisytiharan bahawa sebagai parti politik yang berdaftar secara sah, ia mempunyai hak dilindungi mengikut Perlembagaan Persekutuan dan hak asasinya tidak boleh dilanggar secara salah untuk tujuan kolateral. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya