KUALA LUMPUR: Kebocoran kepada sistem paip bekalan air berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, di sini menjadi punca runtuhan cerun melibatkan ketinggian 15 meter.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dapatan itu hasil siasatan awal Bahagian Forensik Tanah Runtuh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Malaysia Malaysia (JKR).
Kata beliau, kebocoran paip pada sistem perpaipan telah menyebabkan tanah mengalami ketepuan yang tinggi seterusnya meningkatkan lateral force pada tembok penahan sedia ada dari jenis Contiguous Micropile.
“Sebahagian tembok penahan tersebut telah runtuh bersama-sama tanah cerun. Taburan hujan di Stesen Sentul pada empat hari bermula 21 hingga 24 April lalu juga mencatatkan bacaan yang tinggi antara 16.0 mm hingga 47.5 millimeter (mm). Semasa kejadian cuaca adalah baik dan tiada hujan,” katanya dalam satu kenyataan di dalam Facebook rasminya.
Dalam pada itu, kata beliau, JKR memerlukan lukisan terbina (As-built Drawing) struktur tembok penahan sedia ada dari pihak pemilik bangunan, untuk membuat semakan lanjut terhadap struktur tembok penahan berkenaan.
Kerja-kerja pembersihan tapak bermula petang ini melalui kontraktor yang dilantik serta kerja-kerja pemasangan tarpaulin sheet di kawasan cerun runtuh bagi mengelakkan resapan air hujan terus ke tanah.
“Kerja-kerja pemasangan tilt sensor bagi memantau pergerakan tanah di kawasan tersebut dijangka akan dipasang bermula esok,” jelasnya. – UTUSAN