Nama ATM jadi sebutan di Turkiye - Tok Mat

Nama ATM jadi sebutan di Turkiye – Tok Mat

MOHAMAD Hasan menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penghargaan Tim Misi Operasi Starlight II di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (dua dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz (kiri). - FOTO/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diwakili Pasukan Petugas Op Starlight II menjadi sebutan pimpinan kerajaan Turkiye.

Ini setelah pasukan itu menjayakan operasi Hospital Medan selama enam minggu di Celikhan, Adiyaman bagi misi mencari dan menyelamat ekoran gempa bumi yang melanda negara itu pada 6 Februari lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia menandakan pasukan ATM bertugas dengan cemerlang sehingga mengharumkan nama negara.

“Alhamdulillah, dalam enam minggu, pasukan ini menjalankan tugas dengan baik sekali.

“Nama pasukan kita jadi sebutan pimpinan kerajaan Turkiye terutama daripada Menteri Pertahanan mereka sendiri yang menyatakan betapa beliau amat gembira dengan kehadiran kita membantu mereka,” katanya ketika majlis penghargaan Petugas Op Starlight II di Wisma Perwira, di sini sema;am.

Pada masa sama, beliau memahami tugas dihadapi pasukan tersebut yang sentiasa berada dalam keadaan tidak menentu dan tertekan, namun tetap dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Insya-Allah, jasa dan budi baik serta bakti yang dicurahkan semasa bertugas akan dikenang.

“Kerana tugas bersama pasukan negara membantu malapetaka melanda Turkiye sehingga perlu meninggalkan keluarga seketika, apa yang saya boleh katakan ialah ucapan terima kasih dari pihak kerajaan, Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya.

Hospital Medan Malaysia telah memulakan pengoperasiannya di Turkiye pada 15 Februari lalu melibatkan 110 pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja dengan menawarkan perkhidmatan perubatan termasuk prosedur pembedahan kepada masyarakat setempat. 

Misi itu juga melaksanakan Outreach Medical Program melalui pasukan yang dipanggil sebagai Forward Medical Team.

Pendekatan pasukan itu adalah dengan mengaturgerak petugas kesihatan ke rumah-rumah penduduk di sekitar Celikhan serta memeriksa warga tua dan yang lemah untuk disaring serta dibawa ke hospital medan untuk rawatan lanjut sekiranya perlu. 

Inisiatif ini telah meningkatkan interaksi secara terus penduduk tempatan dengan petugas Hospital Medan serta meningkatkan imej negara di samping membuktikan komitmen tinggi Malaysia dalam membantu Turkiye yang berada dalam kesulitan.

Sepanjang melaksanakan operasi Hospital Medan selama enam minggu, seramai 2,415 pesakit telah dirawat. 

la termasuk 83 kes pembedahan yang berjaya dilaksanakan dan 159 pesakit yang telah diberikan rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN