PETALING JAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan melanjutkan tempoh permohonan Geran Kewangan Mitra bagi tahun ini.
Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pelanjutan berkenaan selaras dengan pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk R. Ramanan pada Rabu lalu.
“Permohonan dibuka sehingga 28 Mei 2023 pada pukul 5 petang secara dalam talian di laman Sistem Permohonan Geran Kewangan Mitra (SPGKM) iaitu https://spgkmitra.jpm.gov.my/.
“Pelanjutan ini bertujuan memberi ruang kepada lebih banyak organisasi yang layak untuk mengemukakan permohonan geran kewangan ini,” katanya.
Sebelum ini, Ramanan dilaporkan berkata, sebanyak 448 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara sudah membuat permohonan dan pihkanya mahu proses itu dijalankan secara telus dengan semua penerima geran dapat diketahui rakyat.
Katanya, disebabkan masih ramai tidak tahu peluang ditawarkan Mitra itu, pihaknya memutuskan agar tarikh tutup permohonan dilanjutkan sehingga 28 Mei depan. – UTUSAN