Mitra: Kes lama diaudit, senarai penerima dana dipamer telus

Mitra: Kes lama diaudit, senarai penerima dana dipamer telus

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan melakukan audit secara menyeluruh terhadap segala isu yang pernah berlaku dalam agensi khas tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mitra, Datuk R. Ramanan berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Audit Negara melakukan proses berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya bukan ‘pemburu syaitan’ yang mahu cari salah sesiapa tetapi berharap langkah ini bakal membolehkan Mitra bergerak baik selepas ini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, beliau mengetuai mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut hari ini setelah dilantik jawatan berkenaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Mitra dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 dengan asalnya sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India sebelum dibubarkan oleh Pakatan Harapan.

Blok itu menjenamakan agensi tersebut sebagai Mitra malah pernah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan sebelum kembali di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2020.

Awal 2021, Mitra dicemari pelbagai dakwaan penyelewengan membabitkan ratusan juta ringgit apabila ada kalangan pegawai kanannya didakwa di mahkamah atas banyak kes.

Mengulas lanjut, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Timbalan Ketua Penerangan PKR berkata, Mitra kali ini berimej baru dengan disertai MIC, PKR dan DAP.

“Saya beri jaminan bahawa kami telus meskipun ada wakil pelbagai parti berbeza kerana matlamat kami demi pembangunan masyarakat India termasuk India Muslim,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh masa proses pengauditan, beliau berkata ia terpulang kepada Jabatan Audit Negara tanpa perlu tergesa-gesa bagi mengenal pasti isu ketirisan berlaku.

Sebaliknya, beliau dalam nada optimis mahu Mitra memandang ke hadapan membantu komuniti India yang memerlukan sokongan menerusi pelbagai dana disediakan kerajaan.

Beliau memberi contoh peruntukan khas RM100 juta yang dibentangkan Anwar melalui Belanjawan 2024 selain melantik K. Raveendra Nair sebagai Ketua Pengarah Mitra baharu.

Tidak ketinggalan pelantikan Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj; Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau dan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran sebagai anggota jawatankuasa.

Selain itu, mesyuarat sulung jawatankuasa tersebut turut memutuskan penerima geran yang keseluruhannya bernilai RM30 juta akan dipamerkan menerusi laman sesawang Mitra.

“Setakat ini 448 badan bukan kerajaan dari seluruh negara sudah mohon dan kami mahu proses ini telus dengan semua penerima geran itu dapat diketahui rakyat,” tambahnya.

Langkah drastik itu ujar Ramanan, membuktikan keseriusan dan komitmen pihak Kerajaan Perpaduan membela nasib komuniti India yang terpinggir dalam arus perdana negara.

Walau bagaimanapun ujarnya, disebabkan ramai tidak tahu peluang ditawarkan Mitra itu, pihaknya memutuskan agar tarikh tutup permohonan dilanjutkan sehingga 28 Mei depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN