Michelle Yeoh teringin bekerja dengan produksi tempatan

Michelle Yeoh teringin bekerja dengan produksi tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAAT dia melangkah masuk ke dalam dewan, gema sorakan dan tepukan mula memenuhi segenap ruang. Semua yang hadir ibarat peminat yang menanti kehadiran pelakon kesayangan semua.

Apatah lagi, saat dia menjulang trofi Oscars yang dimenangi tempoh hari juga menerbitkan rasa bangga dalam segenap sanubari setiap yang hadir. Dia satu dalam sejuta, tiada galang gantinya.

“Saya hanyalah wanita biasa, yang menjalani kehidupan dengan rutin harian. Tetapi saya yakin, wanita biasa juga boleh menjadi seorang wira. Bila kita percaya diri.”

Demikian pembuka bicara bintang Hollywood kelahiran tempatan, Tan Sri Michelle Yeoh ketika pertemuan bersama puluhan rakan media dalam satu sesi yang berlangsung baru-baru ini.

Sesi sidang media berjalan cukup tenang. Setiap soalan dilontarkan pengacara majlis disambut mesra oleh Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi Ke-95 (Oscars 2023) menerusi naskhah, Everything Everywhere All at Once.

 Bagi anak kelahiran Ipoh, Perak itu, perjalanannya untuk meraih pengiktirafan berprestij itu bukan sesuatu yang mudah. Mungkin cukup gila jika dia mahu mengimbas semula setiap momen yang dilalui.

Apatah lagi, dia juga mengakui kesunyian dan kesukaran membuktikan bakat di negara orang adalah antara seribu satu perasaan yang memeluk dirinya sepanjang 40 tahun bergelar pelakon.

“Kalau mahu diceritakan, perjalanan itu adalah pengalaman yang menakjubkan. Ibarat roller-coaster. Bila filem Everything Everywhere All At Once ditayangkan, saya sendiri tidak menyangka menggenggam trofi ini.

“Watak Elevyn Wong ini sangat penting. Inilah kali pertama saya ada harapan. Ramai yang tanya, mahukah anda menang Oscars? Pastilah, ya! Siapa tidak mahu.

“Trofi ini adalah lambang harapan ramai orang. Terlalu ramai yang mahu kemenangan itu berpihak kepada saya. Saya dengar kegembiraan dari setiap pelusuk dunia,” katanya.

Aktress prolifik itu adalah wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik sekali gus melakar sejarah baharu dalam industri perfileman antarabangsa.

Bintang berusia 61 tahun itu juga wanita Asia pertama yang dicalonkan bagi kategori tersebut sekali gus melakar sejarah baharu dalam dunia perfileman global.

JANGAN PERNAH MENGALAH

Walaupun mengakui perjalanannya sukar di negara luar, namun seniwati hebat ini tidak pernah sekali mengalah. Dia tetap tegar merentas onak duri cabaran dunia Hollywood yang mungkin ‘kejam’ terutama kepada pelakon luar.

Namun ‘kekebalan’ diri dan semangatnya memungkinkan dia menggengam trofi itu. Jika dia melangkah pergi dan berputus asa, mungkin sahaja dia sekadar meletakkan impian itu dalam kotak usangnya.

Memberi nasihat kepada semua wanita di luar sana, Michelle berkata, jangan pernah sesekali membenarkan mana-mana individu menjatuhkan semangat dan pemikiran serta impian kita. Terus bangkit mengejar impian.

“Jangan pernah berputus asa. 40 tahun saya berjuang, tidak pernah sekali pun saya mengaku kalah. Kalau saya ada pemikiran sebegitu, saya tidak akan duduk di sini. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

“Jangan pernah biarkan orang lain meletakkan anda dalam kotak pemikiran mereka. Percaya kepada diri sendiri, percaya kepada impian dan usaha.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerja dengan pemain industri yang tahu menghargai dan membuat saya percaya dengan kebebasan berkarya,” ujarnya.

TERIMA KARYA PRODUKSI TEMPATAN

Biarpun bintangnya semakin menyinar di pentas antarabangsa, namun pelakon Crazy Rich Asians ini tetap terbuka menerima tawaran daripada mana-mana produksi tempatan.

Dia percaya, pengkarya tempatan juga mempunyai bakat serta visi yang mampu menggegarkan dunia Hollywood sekiranya diberi peluang dan ruang untuk membuktikannya.

“Saya tahu ramai pembikin filem hebat di negara ini. Kita harus meraih peluang dan platform untuk menunjukkan bakat kita semua.

“Saya memang nak bekerja dengan pengarah seni atau studio di negara ini. Mereka yang mampu buat perubahan dan juga, mereka yang boleh bergerak ke hadapan.

“Kita perlu berani dan bersemangat. Percaya kita semua boleh lakukannya. Banyak masa kita lebih suka duduk dalam zon selesa, buat filem untuk pasaran kita sahaja,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN