KUALA LUMPUR: Jumlah mesin dialisis di negara ini tidak mencukupi bagi menampung keperluan pesakit kronik buah pinggang yang jumlahnya semakin bertambah pada setiap tahun.
Kekurangan fasiliti berkenaan terutamanya milik kerajaan dikhuatiri menyebabkan proses rawatan pesakit terutamanya mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes tidak mencapai tahap optimum.
Menurut laporan National Renal Registry, meskipun terdapat peningkatan daripada 683 bilangan pusat dialisis pada 2011 kepada 918 (2021), ia masih tidak cukup selain kebanyakannya disumbangkan oleh syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sektor kerajaan pula hanya mempunyai 227 pusat rawatan di seluruh negara dan pemerhati kesihatan berpendapat negara memerlukan lebih banyak lagi fasiliti dialisis bagi menampung pesakit yang ramai.
Keadaan itu membimbangkan kerana ketidakmampuan pesakit mendapatkan rawatan dialisis kerana kosnya yang tinggi iaitu sekurangnya-kurangnya RM39,790 (hemodialisis) dan RM37,576 (dialisis peritoneal) setahun bagi seorang pesakit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN), Dr. Lily Mushahar berkata, setiap tahun hospital kerajaan menerima kemasukan lebih 8,000 pesakit baharu bagi menjalani rawatan dialisis.
Ketua Perunding Nefrologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban itu berkata, walaupun jumlah pesakit meningkat setiap tahun namun tiada jumlah ideal hemodialisis dapat ditentukan kerana hospital kerajaan tidak merancang ke arah itu.
“Memandangkan fasiliti hemodialisis tidak mencukupi di hospital kerajaan, fasiliti daripada NGO, swasta dan badan-badan agama tampil membantu menampung kekurangan ini.
“Kementerian telah mengesyorkan rawatan dialisis peritoneal sebagai rawatan pertama bagi pesakit kegagalan fungsi buah pinggang kerana boleh dilakukan di rumah, kurang kos berulang-alik ke pusat dialisis dan dapat mengurangkan beban mendirikan fasiliti rawatan hemodialisis yang baharu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ketika ini terdapat hampir 50,000 pesakit buah pinggang sedang menjalani rawatan hemodialisis sedangkan setiap pusat rawatan mempunyai antara empat hingga 35 mesin dialisis, yang sudah tentu tidak mencukupi untuk memberi rawatan kepada semua pesakit terlibat.
Selain daripada pesakit kencing manis, rawatan hemodialisis itu turut digunakan oleh mereka yang menghadapi kegagalan buah pinggang akibat penyakit darah tinggi, batu karang dan kesan pengambilan ubat tertentu.
Mengulas lanjut, Dr. Lily berkata, adalah mustahak untuk rakyat Malaysia memiliki kesedaran tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan terutama bagi mereka yang meningkat usia dan mempunyai sejarah keluarga terkait penyakit buah pinggang kronik.
Ini kerana katanya, kelewatan rakyat Malaysia menjalani saringan kesihatan Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) bagi mengesan risiko diabetes selain kurang kesedaran memupuk amalan gaya hidup yang sihat menyukarkan proses rawatan jika telah didiagnosis diabetes.
“Dalam aspek penjagaan buah pinggang terutama bagi mereka yang meningkat usia, ada penyakit komorbid dan mempunyai sejarah keluarga penyakit buah pinggang kronik, buatlah rawatan berkala dengan doktor kerana masih ramai kurang kesedaran dan mengabaikan saringan kesihatan,” katanya.
WHO sebelum ini menjangkakan peningkatan drastik pesakit sehingga 120 peratus iaitu 300 juta pesakit seluruh dunia dua tahun lagi dengan tujuh juta daripadanya diramal terdiri daripada rakyat Malaysia. Di rantau Asia Tenggara, jumlah pesakit meningkat daripada 28 juta orang pada 1995 kepada 80 juta pada 2025.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019 mendapati, Malaysia mempunyai jumlah penghidap diabetes tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.
Seramai 3.9 juta orang dewasa berusia 18 tahun ke atas atau 18.3 peratus bersamaan satu daripada lima rakyat Malaysia pula menghidap penyakit itu.
Sejak 2018, tiada data terkini perbandingan antara negara mengenai diabetes. Bagaimanapun, Malaysia sentiasa berada di tangga tiga teratas di seluruh dunia disebabkan kerosakan buah pinggang yang berpunca kepada diabetes.
Pangkalan data tahunan Sistem Data Buah Pinggang, Institut Kebangsaan Diabetes, Pencernaan dan Penyakit Buah Pinggang AS: Perbandingan Antarabangsa, mendedahkan Malaysia berada di kedudukan pertama pada 2013 (laporan 2015) untuk peratusan insiden pesakit Penyakit Renal (Buah Pinggang) Tahap Akhir (ESRD) dengan diabetes sebagai punca utama. Malaysia di tangga kedua pada 2012 (laporan 2014), 2014 (laporan 2016) dan 2015 (laporan 2017) selepas Singapura.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, disebabkan kos rawatan yang mahal, banyak organisasi tidak mampu menyediakan rawatan percuma melainkan kerajaan memberi subsidi kecuali Yayasan Buah Pinggang Malaysia dan badan seperti Sau Seng Lam dan Buddhist Tzu Chi.
Kata Zaki Morad, tiada jumlah fasiliti dialisis yang ideal diperlukan namun negara memerlukan seberapa banyak yang mungkin bagi menampung jumlah pesakit yang menjalani rawatan dialisis.
“Memang susah mahu anggar berapa yang diperlukan, tetapi kita kena bandingkan dengan negara lain. Di Singapura, jumlah pengambilan pesakit baharu bagi tahun 2021 untuk tiga kaedah rawatan (hemodialysis, peritoneal dialysis dan pemindahan buah pinggang) ialah 366 bagi sejuta penduduk dan angka yang sama di negara kita ialah 280 .Oleh itu, ketara kita masih kebelakangan dalam memberi rawatan.
“Kaedah rawatan PD tidak begitu popular walaupun sekarang kadarnya meningkat. Rawatan ini terdapat di pusat kerajaan sahaja dan bilangan pusat PD keseluruhan adalah 50 sahaja berbanding beratus pusat hemodialysis.
“Rawatan mesti bermula di peringkat awal walaupun tiada gejala. Ambil langkah mengawal tahap gula dan tekanan darah dengan ketat. Apabila sudah menghidap diabetes selepas bertahun-tahun tanpa sedar, rawatan tidak lagi bertujuan mencegah kerosakan organ saperti dalam badan, sebaliknya hanya memperlahan kadar kerosakan,” katanya. – UTUSAN










