KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO Negeri Pahang menyokong kepemimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar terus maju ke hadapan.
Menurut Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd. Kamil Ibrahim, sokongan itu sederap dengan mandat yang diberi kepada Wan Rosdy setelah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO buat pertama kali dalam pemilihan baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, pihaknya menggariskan beberapa hala tuju yang akan menjadi asas dalam perjuangan parti di bawah kepemimpinan baharu.
“Antara lain yang diumumkan, berkenaan hala tuju atau dasar yang akan menjadi asas kepada Ketua Pemuda Negeri untuk memimpin organisasi ini bagi menghadapi PRU 16.
“Enam dasar yang menjadi panduan dan perkara paling penting bagi Pemuda UMNO Negeri Pahang adalah agama, bangsa dan negara, penambahan keahlian pemuda, penambahan bilangan cawangan pemuda, mengaktifkan Putera dan ‘engagement’ anak muda, ekonomi dan koperasi serta media baru dan pengundi luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Kamil dalam masa yang sama turut berkata yang Pemuda UMNO negeri itu juga senada dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang sebulat suara bersetuju untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Razak.
“Sebelum itu, Pemuda UMNO Negeri Pahang juga mendesak pihak kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau penghakiman semula terhadap bekas Perdana Menteri ke-6 kerana berpendirian keadilan mesti ditegakkan terlebih dahulu sebelum pengampunan dibuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Pemuda UMNO Negeri Pahang mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu tentera rejim Israel terhadap jemaah dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa.
“Tindakan tentera Israel itu jelas menyalahi undang-undang dan mencabuli hak asasi manusia serta kesucian masjid tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










