Martabak inti sotong, kerang jadi tarikan - Utusan Malaysia

Martabak inti sotong, kerang jadi tarikan

ASNITA Mat Zin (kiri) menunjukkan martabak inti sotong dan kerang yang dijual di Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Martabak de­ngan inti makanan laut se­perti sotong dan kerang menjadi tarikan di Bazar Ramadan Gong Badak di sini.

Peniaga tersebut, Asnita Mat Zain, 32, berkata, dia menjual martabak inti sotong dan kerang sejak tujuh tahun lalu sebagai menu istimewa untuk memikat hati pengunjung di bazar Ramadan itu.

Pada masa sama katanya, dia turut menjual martabak daging dan ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Sebelum ini saya jual martabak daging dan ayam sahaja, namun ada permintaan daripada pelanggan yang ingin merasai martabak menggunakan inti makanan laut pula.

“Untuk meraikan permintaan pelanggan itu, saya pun hasilkan beberapa resipi baharu menggunakan sotong dan kerang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Asnita yang dibantu dua saudaranya di gerai jualan itu berkata, dia menjual martabak sotong dan kerang pada harga RM6 sekeping manakala harga martabak ayam dan daging pula RM5.

Tambahnya, pada setiap hari, dia menjual lebih 350 keping martabak termasuk martabak inti sotong dan kerang.

“Ramai pelanggan tanya tentang martabak sotong dan kerang ini, namun tidak semua akan membeli kerana risau tidak memenuhi selera mereka.

“Namun, ada juga yang teruja dengan inti sotong dan kerang ini kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu apatah lagi, mereka kata tidak pernah jumpa inti itu di mana-mana tempat sebelum ini,” katanya.

Menurut Asnita, dia juga bercadang mahu menjual martabak inti lain seperti ikan dan udang selepas ini untuk menawarkan kelainan kepada pengunjung di bazar Ramadan tersebut pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN