Mama orang yang baik, ramai ambil berat keadaan dia – Kilafairy - Utusan Malaysia

Mama orang yang baik, ramai ambil berat keadaan dia – Kilafairy

ACRYL Sani Abdullah Sani (tiga dari kiri) meluangkan masa menziarahi Rohana Jalil di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam. – IHSAN KILAFAIRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Kilafairy, 30, me­ngakui terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak terutama rakan-rakan kenalan ibunya, Rohana Jalil, yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan doa buat penyanyi tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kilafairy berkata, sehingga kini, dia menerima pertanyaan ramai daripada kenalan ibunya yang mahu melawat sejak Rohana dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selasa lalu.

“Terus-terang, saya bersyu­kur kerana dalam keadaan sakit, begitu ramai kalangan teman-teman baik dan kenalannya yang bertanya khabar dan mengambil berat akan keadaannya.

“Saya memang tahu, mama orang yang baik, malah dia baik dengan semua orang tak me­ngira siapa pun. Jadi, saya tak terkejut bila ramai ambil berat mengenai dia.

“Cuma, fikiran dan fokus saya waktu ini hanya mahukan mama kembali sihat se­perti sediakala. Supaya dia boleh beriba­dah semula macam selalu,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melapor­kan Rohana atau nama sebenarnya Dara Abd. Jalil, 68, dimasukkan ke hospital itu pada Selasa lalu, sebelum selamat menjalani pembedahan pada keesokannya bagi merawat kebocoran pada usus.

Difahamkan penyanyi yang popular dengan lagu Rayuanku itu sudah dipindahkan ke unit pemantauan rapi (HDU) kelmarin dengan pemantauan rapi doktor.

Khabar duka itu turut sampai kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sempat meluangkan masa menziarahi penyanyi tersebut di hospital.

Dalam pada itu, menurut Kilafairy, ibunya masih dipantau rapi oleh doktor yang me­rawat dan masih belum dapat dipindahkan ke wad biasa.

“Mama masih dalam wad separa kritikal dan masih mudah dijangkiti. Disebabkan itu, dia perlu dipantau rapi oleh doktor. Kami juga terharu menerima kunjungan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang sempat memberikan kata-kata semangat buat mama.

“Sehubungan itu, saya juga mohon agar semua pihak tidak putus doa buat mama. Apa yang boleh saya katakan, masih panjang lagi perjalanan rawatan mama ini. Doakan mama dan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Kilafairy, ibunya masih bergantung kepada tiub untuk urusan pemberian makanan, air dan ubat-ubatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN