PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia hari ini mengecam sekeras-kerasnya perbuatan keji dan berulang pembakaran al-Quran di Denmark pada 24 Mac dan seminggu kemudiannya.
Menurut kenyataan Wisma Putra, keengganan kerajaan Denmark untuk menghentikan perbuatan melampau itu tidak boleh diterima sama sekali malah umat Islam seluruh dunia menolak berkali-kali.
Katanya, perbuatan berbaur Islamofobik dibuat pada bulan suci Ramadan itu tidak lain bermotif untuk menyebarkan kebencian dan hasutan ganas.
“Malaysia menyeru kerajaan Denmark segera mengambil tindakan tegas ke atas pelaku tersebut dan tidak mengistilahkan perkara keji itu sebagai kebebasan bersuara,” katanya.
Wisma Putra merujuk aksi ganas kumpulan ekstremis anti-Islam berhaluan kanan dikenali Patrioterne Gar Live membakar kitab suci itu berdekatan kedutaan Turkiye di Denmark.
Mereka turut bangga mempamerkan pelbagai sepanduk kebencian ke atas agama Islam termasuk membakar bendera Turkiye di hadapan canseri diplomatik itu di Copenhagen.
Akhir Januari lepas, tokoh politik pelampau tempatan, Rasmus Paludan mencetuskan kontroversi apabila turut membakar al-Quran di pekarangan sebuah masjid di Denmark.
Pada masa sama, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mengerah usaha dalam memastikan sebarang kitab suci agam dihormati sepenuhnya dan dilindungi dengan baik.
Selain itu ujar Wisma Putra, semua negara perlu aktif memerangi gejala Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni dalam kalangan individu berbilang agama sekali gus dapat mempromosikan semangat hidup bersama secara aman selaras dengan asas-asas sejagat Hak Asasi Manusia di seluruh dunia. – UTUSAN