PETALING JAYA: Andaian mengatakan Malaysia tersepit antara dua kuasa besar, China dan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu Laut China Selatan tidak seharusnya timbul memandangkan negara mengambil langkah betul dalam mematuhi undang-undang antarabangsa bagi mendepani tuntutan perairan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, konflik tuntutan perairan berkenaan tidak sesekali berlaku jika semua pihak menghormati pendirian Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti selagi tiada tindakan yang boleh menjejaskan keamanan seperti mana digariskan dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
Katanya, undang-undang antarabangsa itu telah memberi ruang kepada Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti ekonomi termasuk pencarian bahan mentah dan cari gali.
Bagaimanapun kata beliau, ketegangan dan konflik boleh terjadi jika isu tuntutan Laut China Selatan tidak ditangani dengan betul khususnya menerusi pendekatan berhemah serta perbincangan diplomatik di samping ada pihak melanggar perundangan antarabangsa UNCLOS.
“Malaysia dibenarkan untuk menjalankan aktiviti cari gali di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif atau EEZ seperti mana ditetapkan konvensyen itu sekali gus membuktikan tindakan negara ini berasas dan mematuhi perundangan antarabangsa.
“Jadi cakap-cakap mengatakan Malaysia tersepit antara dua kuasa besar dan mengatakan kita tunduk kepada salah satu daripadanya tidak harus berlaku, memandangkan kita ada hak terhadap Laut China Selatan seperti mana termaktub dalam UNCLOS. Maka semua pihak perlu menghormati pendirian Malaysia dalam soal ini,” katanya.
Semalam, Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters memberitahu negaranya mahu Laut China menjadi sebuah perairan yang bebas dan terbuka selain boleh diakses oleh mana-mana kapal dagang.
Kenyataan itu bagi menjawab isu pertikaian dan tuntutan bertindih antara Malaysia serta negara ASEAN lain dengan China di Laut China Selatan yang berlarutan sejak sekian lama khususnya tindakan negara itu menghantar kapal pengawal pantai ke perairan berkenaan.
Sebelum ini, Wisma Putra menegaskan bahawa pendirian Malaysia berhubung isu Laut China Selatan adalah konsisten dan kekal serta tidak pernah berubah di samping komited mempertahankan kedaulatan, hak dan kepentingan negara dalam kawasan maritimnya.
Tambah Syed Hamid, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat baru-baru ini iaitu Petronas akan meneruskan kerja-kerja cari gali minyak di Laut China Selatan bukan sahaja dilihat merupakan satu keputusan tepat, sebaliknya ia menggambarkan ketegasan Malaysia untuk kekal mematuhi UNCLOS dalam berdepan isu tuntutan perairan dibangkitkan selama ini.
Jelasnya, sebarang isu pertikaian hendaklah ditangani dengan berhemah menerusi saluran diplomatik untuk mengelakkan sebarang konflik dan menjejaskan hubungan dua hala.
“Oleh itu, Perdana Menteri menyebut Petronas akan terus melaksanakan kerja cari gali minyak di kawasan sedia ada di Laut China Selatan, namun terbuka untuk rundingan dengan China, sebenarnya itulah pendirian sebenar kita selama ini.
“Jadi rundingan itu bermaksud sebarang isu perlu dibincang atau diselesaikan secara aman menggunakan segala platform sedia ada dan diplomatik,” katanya.
Kata Syed Hamid, justeru semua pihak perlu menghormati UNCLOS dimeterai pada 41 tahun lalu demi memastikan Laut China Selatan terus kekal sebagai perairan aman, stabil dan selamat untuk laluan maritim perdagangan antarabangsa. – UTUSAN










