Mahfuz harap Sanusi ambil pengajaran

Mahfuz harap Sanusi ambil pengajaran

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Mahfuz Omar berharap keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membayar ganti rugi RM120,000 kepadanya akan menjadi pengajaran kepada Menteri Besar Kedah itu agar tidak bercakap sesuka hati.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah tersebut yang disifatkannya telah membuktikan kebenaran.

“Dalam kes ini, Muhammad Sanusi terlebih dulu bawa ke Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi supaya dia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada saya. Lalu saya buat rayuan balas dan alhamdulillah kuantum ganti rugi dinaikkan kepada RM120,000.

“Maka sudah tentu saya bersyukur dengan keputusan ini kerana ia jelas membuktikan saya difitnah,” katanya ketika dihubungi semalam.

sanusi
MAHFUZ OMAR

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong semalam membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.

Terdahulu pada Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Muhammad Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Susulan itu pada November 2021, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin membenarkan saman fitnah Mahfuz dan mengarahkan Muhammad Sanusi membayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz, selain mengeluarkan perintah injunksi menghalang Muhammad Sanusi atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap Mahfuz pada masa depan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau sedia membayar saman tersebut namun tidak akan mengendurkan tekad perjuangannya hanya kerana kepentingan politik atau takut hilang sokongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×