Lonjakan trafik, PLUS aktif laluan ‘SmartLane’ 

Lonjakan trafik, PLUS aktif laluan ‘SmartLane’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan mengaktifkan pembukaan sementara lorong kecemasan atau ‘SmartLane’ di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya untuk menambah kapasiti lorong.

Langkah itu susulan lonjakan trafik dijangka berlaku pada hujung minggu ini berikutan berakhirnya cuti persekolahan dan cuti am Hari Pekerja bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri antara 29 April hingga 1 Mei.

Sepanjang cuti perayaan ini, laluan ‘SmartLane’ sudah diaktifkan di dua laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai bagi membantu melancarkan pergerakan trafik. 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara semasa laluan ‘SmartLane’ diaktifkan. 

Katanya, ia sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.

Bagaimanapun katanya, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan atau laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan. 

“Selain dua laluan tersebut, PLUS juga telah mengenal pasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan ‘SmartLane’ iaitu laluan Gua Tempurung ke Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (arah utara), Slim River ke Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (arah utara) dan Rawang ke Sungai Buaya antara KM439.9 hingga KM435.5 (arah utara),” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sementara itu, PLUS memaklumkan, pengaktifan laluan ‘SmartLane’ di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan. 

“Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti penggunaan laluan ‘SmartLane’ itu melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik. 

“PLUS juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa yang terlibat terutamanya pihak PDRM yang telah membantu menyuraikan dan mengawal trafik di lokasi laluan ‘SmartLane’ dan di sepanjang lebuh raya pada musim perayaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya