Lembaga Pengampunan akan pilih waktu sesuai - Ahmad Zahid

Lembaga Pengampunan akan pilih waktu sesuai – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri TPM di Sri Satria, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO yakin Lembaga Pengampunan akan memilih waktu paling sesuai bagi membincangkan agenda pengampunan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku sekretariat kepada Lembaga Pengampunan akan menguruskan perkara itu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan oleh BHEUU JPM kelak.

“Sebagaimana kita tahu bahawa agenda pengampunan Najib tidak dimasukkan pada Persidangan Lembaga Pengampunan yang berlangsung Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Seri Satria, di sini hari ini.

Ditanya berhubung kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Amanah dan berpendapat ia bukan pendirian parti berkenaan.

“Mereka berpendapat, pendapat (kenyataan Khalid) itu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian parti.

“Saya harap beliau (Khalid) dapat membezakan pendapat peribadi dengan pendirian parti keseluruhannya. Bagi saya, beliau harus belajar menghormati rakan-rakan parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan.

“Jangan terbawa-bawa dan berada dalam kepompong pemikiran pembangkang. Datang jumpa saya sendiri untuk mendapatkan pengesahan terhadap isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Khalid supaya tidak hanya membaca yang tersurat, namun melihat apa yang tersirat, malah apa yang penting adalah mewujudkan keharmonian dalam parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Mengulas mengenai ‘kata dua’ oleh UMNO Kelantan terhadap isu berkenaan, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah meminta UMNO Kelantan supaya menyelesaikan isu itu dengan baik.

“(Pendirian) UMNO jelas bahawa parti akan memohon keampunan kepada Najib dan ia tanggungjawab kami sebagai sebuah parti yang beliau (Najib) pernah ketuai,” katanya.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan yang bersidang Jumaat lalu, tidak membincangkan mengenai petisyen rayuan pengampunan yang difailkan oleh Najib untuk diampun dan dibebaskan daripada penjara.

Malah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada 7 April lalu memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya