Lelaki putus tangan kiri terkena letupan mercun buatan sendiri - Utusan Malaysia

Lelaki putus tangan kiri terkena letupan mercun buatan sendiri

KEADAAN tangan mangsa yang cedera selepas terkena letupan mercun buatan sendiri di Kampung Gong Pak Damat, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 27 tahun putus pergelangan tangan kiri selepas mercun buatan sendiri meletup dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat, Kuala Nerus dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa membancuh mercun buatan sendiri dengan menggunakan mercun bola dan paip jenis polivinil klorida (PVC) yang mengakibatkan letupan besar.

Menurut beliau, insiden itu disedari abang mangsa yang kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira pukul 3.50 pagi.

“Mangsa telah mengalami kecederaan serius putus pergelangan tangan kiri, hancur beberapa batang jari tangan kanan selain kecederaan lain pada bahagian badan.

“Susulan daripada itu mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Tambah Rohaimi lagi, insiden berkenaan merupakan yang kedua selepas seorang kanak-kanak berusia lapan tahun hampir buta ketika bermain mercun yang diubah suai, minggu lalu.

Menurut beliau, pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap pengedar serta penjual mercun tersebut.

Dalam pada itu, Rohaimi memberitahu sejak 23 Mac sehingga 9 April, sejumlah 17 kes rampasan mercun dan bunga api telah dibuat membabitkan nilai RM18,835 dan 18 tangkapan.

“Individu yang menjual mercun tanpa permit boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya