Lebih 74,392 mohon FSA2, 34,643 pemohon layak

Lebih 74,392 mohon FSA2, 34,643 pemohon layak

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 74,392 permohonan diterima di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan 34,643 daripadanya adalah permohonan yang layak dengan jumlah RM722 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, agensi itu menjangkakan jumlah permohonan untuk FSA2 akan terus meningkat, lebih-lebih lagi selepas Bank Simpanan Nasional (BSN) melancarkan BSN MyRinggit Insan-i hari ini.

Sehubungan itu, katanya, KWSP menzahirkan penghargaan terhadap MBSB Bank dan BSN yang menyokong inisiatif FSA2 dan pihaknya percaya ia akan dapat membantu ahli yang mempunyai isu kecairan tunai untuk mendapatkan pembiayaan peribadi tanpa impak yang serius terhadap simpanan persaraan mereka.

“Kami difahamkan terdapat kekeliruan dalam kalangan sebilangan ahli KWSP berhubung keperluan pembayaran balik bulanan pembiayaan peribadi ini. 

“Kami ingin menjelaskan bahawa fasiliti ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong oleh pendapatan yang berpatutan untuk memastikan mereka mampu membiayai pembiayaan peribadi tersebut dan komited kepada pembayaran balik bulanan tanpa menjejaskan kecukupan dan jaminan pendapatan persaraan mereka. 

“Perlu diingatkan bahawa bayaran balik bulanan adalah perlu untuk memastikan pinjaman dibayar tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan. 

Terdahulu, FSA2 disediakan KWSP bagi membolehkan pencarum membuat permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau Umur 55 Tahun dalam mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian. 

Setakat ini, dua institusi perbankan menawarkan inisiatif itu iaitu MBSB Bank melalui kemudahan patuh Syariah Ihsan-i mulai 7 April lepas dan BSN melalui BSN MyRinggit Insan-i bermula semalam. 

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP memaklumkan, jumlah kelayakan untuk pembiayaan peribadi itu adalah berdasarkan jumlah simpanan dalam Akaun 2, dengan jumlah pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM50,000. 

Kata jabatan itu, ahli boleh membuat permohonan pembiayaan peribadi secara dalam talian melalui MBSB Bank atau BSN. 

“Setelah pembiayaan peribadi diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal bagi Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan jumlah pembiayaan yang diluluskan. 

“Di bawah Fasa 1, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak bank. Amaun pengeluaran yang tertakluk kepada jumlah dalam Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun akan dibuat ke akaun bank ahli apabila ahli mencapai umur antara 50 hingga 55 tahun mengikut pilihan umur pengeluaran ahli. 

“Ahli boleh rujuk http://fsa2.kwsp.gov.my/ untuk menyemak kelayakan mereka bagi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dan jumlah yang boleh dipohon di bawah fasiliti tersebut,” kata jabatan itu. 

Selain itu, jelas jabatan itu, soalan lazim berkaitan fasiliti ini juga terdapat di laman web untuk rujukan ahli. 

“Ahli disarankan untuk mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit mereka melalui Self-Service Terminal (SST) yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

“Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya