Lawatan PM ke China, Pengerusi PAC baharu, doktor kontrak

Lawatan PM ke China, Pengerusi PAC baharu, doktor kontrak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini dari segi ekonomi dan peluang pelaburan serta manfaat untuk rakyat Malaysia antara yang menjadi tumpuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat bulan ini, hari ini.

Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) dijangka bertanya soalan itu kepada Perdana Menteri menerusi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pukul 10 pagi ini.

Selain itu, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) turut bertanya justifikasi tindakan kerajaan menyenarai produk cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam alat rokok elektronik daripada Akta Racun 1952 dan pertimbangan kerajaan mengenai implikasi negatif penyenaraian produk cecair dan gel nikotin berkenaan.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) pula meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang terlibat jika semua mereka diserap ke jawatan tetap.

Pada permulaan urusan mesyuarat mengemukakan rang undang-undang untuk bacaan kali pertama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini akan membentang tiga rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 dan RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023.

Aturan urusan mesyuarat dan usul-usul kemudian disusuli dengan Perdana Menteri mencadang supaya Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dan Wong Shu Qi (PH-Kluang) masing-masing dipilih sebagai Pengerusi dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara bagi Majlis Parlimen Ke-15.

Sementara itu, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023 juga akan dibentang bagi bacaan kali yang kedua.

Dewan Rakyat semalam meluluskan empat rang undang-undang iaitu RUU Kewangan 2023; RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023; RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN