PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Program Lima Minit Antirokok/Vape bagi menangani isu berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.
Menurut KPM, inisiatif itu dilaksanakan bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah dengan kerjasama agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ujarnya, langkah itu diambil selepas kementeriannya mengambil maklum dan prihatin terhadap beberapa laporan media mengenai penggunaan vape dalam kalangan kanak-kanak dan murid sekolah.
“Program Lima (5) Minit Antirokok/Vape dilaksanakan dalam perhimpunan, kelas ganti, bimbingan kelompok, kempen anti merokok/vape, ceramah, pameran serta melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah.
“Aktiviti ini bertujuan menerapkan nilai kesedaran murid, membentuk jati diri dan mempunyai daya tahan yang tinggi,” kata kenyataan itu.
Jelas KPM, kementeriannya pada masa sama sentiasa memberi peringatan kepada JPN, PPD dan sekolah berkaitan Surat Siaran KPM Bil 17/2015: Larangan Penggunaan Rokok Elektronik atau Vape di Sekolah.
“Selain itu, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/2001: Pemantapan Pengurusan Disiplin di Sekolah, pengetua dan guru besar disarankan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk memantapkan pengurusan disiplin dan kaunseling di sekolah,” jelasnya.
Sementara itu, KPM menambah, kementeriannya turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan program IMFree kepada murid tahun satu hingga tahun enam di 636 buah sekolah rintis serta diperluas pada tahun ini dan seterusnya.
Kata KPM, Program IMFree merupakan program pendidikan dan pencegahan amalan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah.
Ujarnya, program ini bertujuan agar murid yang lahir pada tahun 2009 dan ke atas kekal tidak merokok sepanjang hayat.
“Objektif program ini ialah untuk memberi pengetahuan tentang bahaya merokok; memberi kemahiran untuk menyampaikan maklumat tentang bahaya merokok dan melatih murid menjadi agen, pencetus atau penyampai maklumat perubahan kepada rakan dan keluarga terhadap bahaya merokok.
“KPM sentiasa komited dalam melaksanakan program pendidikan pencegahan berkaitan isu disiplin sebagai satu usaha berterusan memberi kesedaran, kemahiran, pengetahuan serta bimbingan kepada murid,” katanya. – UTUSAN