Komposisi Exco Melaka harus gambarkan Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Komposisi Exco Melaka harus gambarkan Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan sumbangan pada Program Ihya Ramadan al-Mubarak Tadarus al-Quran Perdana Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Barisan Exco Kerajaan Melaka yang akan dilantik nanti seharusnya menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) menguasai tiga per empat daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Exco kerajaan negeri wajar menggambarkan kebersamaan dan perkongsian kuasa antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Beliau (Ketua Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh) akan berbincang dengan saya mengenai pelantikan barisan Exco Kerajaan Negeri dan saya berhasrat agar barisan Exco mesti menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun kita tahu bahawa di Melaka UMNO dan BN memperolehi tiga per empat suara majoriti di negeri itu, namun alangkah baiknya jika Kerajaan Melaka dapat menggambarkan kebersamaan dan juga perkongsian kuasa dengan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang telah dipilih oleh rakyat daripada parti-parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Ihya Ramadan al-Mubarak Tadarus al-Quran Perdana Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Ab. Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang ke-13 semalam bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang meletakkan jawatan.

Ketika ini, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 21 kerusi dikuasai oleh BN manakala lima dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan dua kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kedudukan portfolio Exco juga harus menggambarkan Kerajaan Perpaduan dan beliau yakin Ab. Rauf akan membincangkan perkara itu dengan beliau.

Ditanya ia sekali gus akan menyaksikan ada anggota Exco sedia ada digugurkan, Ahmad Zahid menjelaskan ia terserah kepada kebijaksanaan Ketua Menteri baharu tetapi wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan wajib berada di dalamnya bagi menggambarkan kebersamaan dalam kerajaan negeri.

Beliau juga yakin kestabilan yang ditunjukkan dalam kerajaan Melaka yang baharu mampu menjadi penyumbang kepada kemenangan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tahun ini.

“Untuk PRN, tiga negeri di bawah Kerajaan Perpaduan iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan tiga lagi bawah PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Bagi kita, kerjasama telah terjalin antara BN dan Kerajaan Perpaduan dengan usaha untuk pengagihan kerusi boleh menang telah dimulakan dan tentunya kestabilan politik di Melaka akan turut menyumbang kebolehmenangan di enam negeri tersebut.

“Kita harap jentera parti di Melaka akan membantu jentera BN dan Kerajaan Perpaduan dalam PRN itu nanti,” jelasnya.

Selain itu, beliau mahu kerajaan Melaka yang baharu harus memberikan perkhidmatan kepada rakyat negeri Melaka dan meneruskan kesinambungan perkhidmatan terbaik yang telah dibuat oleh Ketua Menteri sebelum ini.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menegaskan penekanan harus dilakukan terhadap usaha menggamit pelaburan sama ada pelaburan langsung asing (FDI) atau pelaburan domestik.

Di samping itu, jelasnya, harus juga ditekankan mengenai sumber guna tenaga atau tenaga kerja untuk Melaka yang mana latihan-latihan mesti diberikan kepada rakyat negeri it terutama dalam bidang teknikal dan perindustrian.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, akan berusaha membantu kerajaan Melaka dalam merealisasikan perkara tersebut.

“Jangan lupa sektor pelancongan yang juga penting untuk negeri itu kerana Melaka mempunyai potensi cukup besar dari segi pelancongan dan diharap pendapatan pelancongan akan terus meningkat di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ab. Rauf,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya