PETALING JAYA: MCA tidak menyokong sebarang usaha mana-mana ahli Parlimen untuk mengorbankan kerusi mereka bagi memaksa pilihan raya kecil (PRK) diadakan semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menegaskan, pihaknya tidak mengetahui berhubung percubaan menggulingkan kerajaan sepertimana dilaporkan dalam sebuah portal berita hari ini.
“Selaku Presiden MCA saya memandang berat perkara ini, media sepatutnya mendapatkan maklumat yang sudah disemak. Kita sendiri tidak tahu mengenai usaha dan percubaan ini dan macam mana nama kami, saya dan Datuk Seri Wee Jack Seng ditulis dalam laporan itu.
“Namun bagi saya sendiri sebagai Presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang cubaan menggulingkan kerajaan sepertimana yang dilaporkan. Kami juga tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana ahli Parlimen yang dipilih untuk mengorbankan kerusi mereka bagi memaksa PRK diadakan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau merujuk laporan media yang mendakwa kononnya 10 ahli Parlimen sebelum ini menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin dilantik Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terbabit dalam komplot mengguling kerajaan dan mendakwa mereka ingin meletak jawatan sebagai wakil rakyat bagi membolehkan diadakan PRK.
Laporan itu menyebut beberapa ahli Parlimen BN termasuk daripada MCA.
Bagaimanapun, perkara itu telah dinafikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti memetik satu laporan media hari ini.
Sambil menyifatkan laporan itu mengarut, Ka Siong berkata, keutamaan sekarang adalah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada PRU15.
“Sebuah portal berita menyiarkan laporan yang bersandarkan kepada sumber maklumat tanpa nama dilihat cuba mengarang berita kononnya ada gerakan untuk menggugat kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sesiapa saja boleh menulis mengikut citarasa masing-masing berpandukan khabar angin,” katanya. – UTUSAN