Keselamatan siber rendah bakal cetus serangan mega

Keselamatan siber rendah bakal cetus serangan mega

Serangan mega terhadap data peribadi boleh berlaku jika tiada langkah keselamatan ditingkatkan. - gambar hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Serangan siber lebih besar bakal berlaku jika tahap keselamatan di negara ini sudah berada pada tahap sangat rendah dan terdapat pelanggaran protokol yang ketara.

Pakar teknologi maklumat (IT) dan keselamatan komputer dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) berkata, keadaan itu akan membawa kesan yang buruk dengan mampu berlaku kecurian data sensitif, menutup infrastruktur kritikal negara, atau mengganggu sistem ketenteraan dan kerajaan.

Menurut jurucakap CSAM, setiap negara seharusnya mempunyai perisian pengkomputeran tersendiri kerana mereka akan mempunyai kuasa kawalan terhadap data negara dan memastikan data tersebut tidak jatuh ke tangan negara luar.

“Keselamatan komputer bukan ‘one-off’ tetapi perlu diselenggara, dikemaskini dan dipantau secara berterusan kerana teknologi berubah, sistem, proses dan pengguna turut berubah,” katanya kepada Utusan ketika dihubungi semalam.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, setakat Mac lalu terdapat peningkatan sebanyak 50 peratus kes pencerobohan data maklumat sulit kerajaan dan orang awam.

Dalam pada itu, Yayasan Digital Malaysia (YDM) mendedahkan data rakyat negara ini daripada pelbagai organisasi kerajaan mahupun swasta didapati dilelong secara pukal di laman web gelap dengan harga serendah RM4,400 hingga RM45,000.

Tambah jurucakap CSAM, pengguna perlu menghadkan akses kepada maklumat peribadi atau data penting pada akaun dalam talian dan peranti lain yang dimiliki hanya kepada mereka yang memerlukan akses itu sahaja

CSAM turut memaklumkan tahap keselamatan siber di negara ini tidak rendah, malah terdapat inisiatif bagi penggunaan teknologi terkini dan tindakan yang diambil oleh kerajaan serta agensi yang meningkatkan tahap keselamatan di Malaysia.

Ketua Seksyen Keselamatan Siber dan Bahagian Penumpuan Teknologi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr. Shafiza Mohd. Shariff berkata, dari segi aspek tahap kesedaran keselamatan komputer dalam kalangan pengguna, pentadbir mahupun penyelenggara sistem masih lagi lemah dan kurang.

“Justeru, penggunaan teknologi yang digunakan di Malaysia bukanlah tercicir malah setanding dengan negara luar dan ada juga sistem kita yang dibangunkan oleh pakar dalaman yang seiring dengan pakar luar.

“Pengguna perlu meliputi aspek ‘defensive’ dan juga ‘offensive’ di mana kita perlu lebih holistik dalam mempraktikkan keselamatan komputer,” jelasnya.

Tambahnya, setiap orang yang terlibat seperti pengguna, pembangun sistem, pentadbir, serta pihak pengurusan perlu bersama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan komputer.

Pensyarah Pusat Kajian Keselamatan Siber Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Siti Norul Huda Sheikh Abdullah berkata, kebocoran data berlaku berpunca daripada kelemahan beberapa pembangunan aplikasi dan sistem yang kurang mengamal reka bentuk aplikasi selamat merangkumi aspek-aspek keselamatan aplikasi, web dan rangkaian.

“Selain daripada itu, kelemahan proses pengurusan ICT merangkumi pengurusan risiko, pengurusan perubahan dan pengurusan penambahbaikan berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN