Kerajaan tumpu pengeluaran getah cecair - Utusan Malaysia

Kerajaan tumpu pengeluaran getah cecair

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada Program Ihya Ramadan al-Mubarak Tadarus al-Quran Perdana Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan pengeluaran getah lateks atau getah cecair berbanding getah buku bagi kegunaan industri tempatan pada masa depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk memperbanyak depoh pengeluaran lateks di dalam negara.

“Saya akan memberikan keprihatinan terhadap pengeluaran lateks dan memperbanyak lagi depoh pengeluaran lateks walaupun kita lihat getah beku masih banyak dikeluarkan.

“Namun kita harus mengambil peranan kerana sebanyak RM3 bilion digunakan untuk mengimport getah lateks dari luar negara bagi kegunaan industri tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ihya Ramadan al-Mubarak Tadarus al-Quran Perdana Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mekanisme kerajaan bagi memastikan harga getah kekal kompetitif.

Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan harga lantai getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram menerusi Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Sebelum itu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mahu penghasilan lateks dapat dipertingkatkan, berikutan kira-kira 80 peratus kegunaan domestik bahan itu adalah hasil daripada import.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perbelanjaan RM3 bilion itu boleh dijimatkan sekiranya pengeluaran lateks dalam negara dapat ditingkatkan.

Jelas beliau, jika lateks dikeluarkan dengan lebih banyak, sudah tentu permintaannya akan meningkat sekali gus meningkatkan lagi harganya.

Sehubungan itu, beliau menerangkan daripada segi jangka masa panjang, RISDA khususnya akan melakukan usaha bagi mempertingkatkan harga lantai untuk lateks. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya