Kerajaan Johor bantu keluarga empat beradik maut kebakaran

Kerajaan Johor bantu keluarga empat beradik maut kebakaran

GAMBAR empat beradik - Puteri Aisyah Thein Ko Htut, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kerajaan negeri akan menjaga kebajikan pasangan suami isteri yang kehilangan empat anaknya dalam kebakaran di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, di sini malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, ia termasuk kos penginapan sementara di sebuah rumah inap desa di sekitar Bakri, di sini selepas kediaman disewa keluarga itu musnah dalam kejadian berkenaan.

“Kita juga berusaha untuk menyediakan kediaman sementara yang tidak jauh dari tanah perkuburan, ketika ini pejabat daerah telah kenal pasti rumah inap selama seminggu.

“Dalam masa sama, bantuan awal juga telah diberikan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebanyak RM3,000 serta bantuan kecemasan daripada Pejabat Daerah Muar sebanyak RM2,000.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah memberi bantuan segera termasuk keperluan pakaian, tilam, selimut dan lain-lain bagi membolehkan keluarga berkenaan menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam Mohd. Fared sempat menziarahi ibu bapa keluarga malang itu, iaitu Nabila Sedu, 31, dan Thein Ko Thut, 30, di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis telah menyerahkan kesemua barang kes berkaitan termasuk bukti-bukti yang ditemui di lokasi kejadian kepada Jabatan Kimia di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, setelah ini pegawai penyiasat akan mengambil keterangan daripada ibu bapa mangsa serta kesemua jiran dan saksi yang terlibat.

Kelmarin, media melaporkan empat beradik maut selepas kediaman mereka di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, di sini terbakar.

Dalam kejadian pukul 7.49 petang itu, empat beradik Puteri Aisyah Thein Ko Htut 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air di bahagian dapur rumah.

Sementara itu, jenazah empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini malam semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahat.

Jenazah Puteri Aisyah Thein Ko Htut, 8, Mohd. Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini pada pukul 8.15 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×