Kawasan pentadbiran Ketengah diperluaskan - Utusan Malaysia

Kawasan pentadbiran Ketengah diperluaskan

RUBIAH Wang (kanan) menyampaikan sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah kepada keluarga asnaf di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, petang tadi. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memperluaskan kawasan pentadbiran agensi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melibatkan daerah Hulu Terengganu dekat sini. 

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, kawasan pentadbiran baharu Ketengah di daerah itu melibatkan lapan mukim iaitu mukim Tanggul, Hulu Berang, Hulu Telemong, Jenagor, Kuala Berang, Kuala Telemong, Penghulu Diman dan Tersat. 

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan kerajaan negeri untuk meluaskan kawasan pentadbiran agensi tersebut.  

“Kita merancang untuk memperluaskan lagi kawasan Ketengah yang mana kita lihat kawasan terlibat perlu dibangunkan sosio ekonominya untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Doa Selamat dan Santuni Asnaf Wilayah Ketengah sempena 50 tahun penubuhan Ketengah, di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, petang tadi. 

Rubiah berkata, sekiranya kerajaan negeri bersetuju, rancangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin pada tahun ini. 

Menurutnya, sepanjang 50 tahun Ketengah ditubuhkan, agensi itu berjaya membangunkan ekonomi penduduk dan beliau percaya Ketengah mampu membangunkan lapan lagi Mukim di Hulu Terengganu. 

“Kita nampak kemampuan Ketengah dalam membangunkan kawasannya dan besar harapan kita untuk memastikan jurang pendapatan khususnya pembasmian kemiskinan dan usaha kerajaan untuk mencapai sifar kemiskinan berjaya direalisasikan,” katanya.

Rubiah berkata, setakat ini, Ketengah meliputi kawasan seluas 1.3 juta hektar di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, Bandar Bukit Besi, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bandar ketengah Jaya di Dungun serta Bandar Seri Bandi dan Bandar Cheneh Baru di daerah Kemaman. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu,  Tabung Amanah Masyarakat Ketengah menyediakan sumbangan sebanyak RM205,600 untuk diagihkan kepada 1,028 buah keluarga asnaf di kawasan Ketengah sebagai persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. 

“Setiap keluarga tersebut akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 yang mula diagihkan pada 5 April lalu sehingga 19 April ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya