Kanak-kanak lelaki tercampak selamat, ibu maut nahas dua Myvi - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lelaki tercampak selamat, ibu maut nahas dua Myvi

KEADAAN Perodua Myvi dinaiki tiga beranak yang terbabit nahas di Kilometer 291.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kampar hari ini. - UTUSAN/PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terselamat selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 291.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat sini pagi tadi.

Nahas itu bagaimanapun mengorbankan ibu kanak-kanak terbabit, Norfadilah Ismail, 34, yang meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala dan dalaman.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, maklumat nahas membabitkan dua buah kereta jenis Perodua Myvi itu diterima pada pukul 8.10 pagi.

Katanya, dalam kemalangan itu, seorang wanita yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut manakala anak lelaki yang dipangkunya pula tercampak keluar dari kenderaan.

“Sebuah kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun dipercayai melanggar belakang kereta dinaiki tiga beranak itu sebelum kenderaan berkenaan terbabas dan terbalik.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan ibu kanak-kanak itu maut manakala anaknya pula terselamat dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam kejadian tersebut bapa kanak-kanak berusia 36 tahun itu tidak cedera begitu juga pemandu yang terlibat dan tiga rakannya.

Katanya, mayat wanita itu dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala anak lelakinya pula dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.