Kadar kemiskinan tegar Sarawak dikaji, keputusan diketahui hujung tahun ini – Abang Johari - Utusan Malaysia

Kadar kemiskinan tegar Sarawak dikaji, keputusan diketahui hujung tahun ini – Abang Johari

ABANG Johari Tun Openg ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Stakan, di Muara Tuang, Kota Samarahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN: Satu kajian akan dilaksanakan bagi mendapatkan peratusan sebenar kadar kemiskinan tegar di Sarawak dan keputusannya akan diketahui penghujung tahun ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan kemiskinan seseorang individu itu berbeza dan ia wajar dinilai melalui aset mereka sedia ada.

“Sebenarnya kita hendaklah berteraskan kepada prinsip ekonomi, kerana miskin tegar ini memang ada. Tetapi secara keseluruhannya, kita hendaklah ukur kemiskinan melalui aset yang ada.

“Di Sarawak, alhamdulillah banyak masyarakat kita mempunyai aset seperti tanah seumpamanya dan mereka yang mempunyai tanah ini juga dikategorikan sebagai miskin. Maka kita perlu bezakan miskin ini.

“Memang dari sudut aset dia ada harta tetapi dia miskin dari sudut ilmu untuk menggandakan aset yang ada. Jadi dari sudut kajian hendaklah betul kalau kita nak melihat bagaimana di satu-satu kawasan itu sama ada masyarakat itu miskin ataupun tidak,” jelasnya.

Abang Johari berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dalam usaha Kerajaan Perpaduan untuk menghapuskan miskin tegar di negara, dan antara salah satu negeri yang disenaraikannya ialah Sarawak.

Bagaimanapun Abang Johari juga mendedahkan beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dari sudut kemiskinan hendaklah dibuat kajian yang holistik secara ekonomi.

“Kalaulah mereka ini dikatakan miskin, mereka hendaklah dalam e-kasih, kalau dia ada harta mesti keluar dari e-kasih kerana mereka berasaskan kepada e-kasih. E-kasih masih ada sana, kalau tak dia tak ada dapat pendapatan (elaun) daripada e-kasih itu.

“Kerajaan negeri akan membuat satu kajian bagi mengkaji kadar di Sarawak. Ini kerana seperti mana yang kita tahu, terdapat kawasan kita seperti di Pakan disebut sebagai termiskin, tetapi orang Pakan dapat membeli kereta sebab harga lada begitu baik dan hasil tanahnya ada.

“Justeru kalau kita nak kaji kemiskinan kita hendaklah buat kajian yang berasas dan secara profesional supaya kita tahu betul atau tidak individu itu tergolong dalam orang miskin,” tegasnya.

Dedahnya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak akan mengetuai kajian tersebut secara mendalam dan profesional bagi mendapatkan kadar kemisikinan sebenar di Sarawak.

“Kajian ini akan dilaksanakan oleh EPU kita, ia juga akan memberi kita satu pandangan apa yang kita perlu lakukan dalam situasi seperti ini. Kalau tidak, nanti orang kata negeri Sarawak kaya, tapi rakyatnya miskin.

“Tapi metodologi kajiannya salah, bermaksud orang akan fikir kita (kerajaan) tidak berbuat apa-apa. Jadi kita perlu gunakan pihak profesional untuk mengkaji tahap kemiskinan kita,” kata Abang Johari.

Katanya, keputusan kajian itu nanti akan diketahui tahun ini secara menyeluruh dan menegaskan agar banci yang dilakukan oleh kakitangan pembanci perlu turut ke lapangan bagi mendapatkan jumlah peratusan penduduk sebenar dan tidak hanya mengharapkan statistik lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya