JPJ keluar 128 saman kurang 3 jam operasi - Utusan Malaysia

JPJ keluar 128 saman kurang 3 jam operasi

JPJ Pulau Pinang memeriksa sehingga 367 buah motosikal dalam tempoh kurang tiga jam sepanjang penguatkuasaan khas Ops Bersepadu Luaran di Butterworth, Pulau Pinang kelmarin.

BUTTERWORTH: Seramai 119 daripada 367 penunggang motosikal yang diperiksa dikenakan tindakan dengan 128 notis saman dan teknikal dikeluarkan dalam penguatkuasaan khas, Ops Bersepadu Luaran oleh Unit Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, kelmarin.

Selain JPJ, operasi yang dijalankan di lorong motosikal plaza tol Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) antara pukul 11.45 malam hingga 2.30 pagi itu turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dengan kekuatan 21 anggota.

Menurut JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan, operasi motosikal yang diadakan itu bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Pada masa sama katanya, mereka juga perlu memastikan tiada sebarang pengubahsuaian dibuat terhadap motosikal masing-masing untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.

“Antara kesalahan yang dikesan dalam operasi itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

“Kesalahan lain ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ekstrem, tiada cermin sisi selain mengubah suai motosikal tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, katanya, penunggang dan pemilik motosikal khususnya dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada serta memandu dengan cermat dan berhemah.

“Ini bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian yang membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN