Jika betul KJ berminat, kita bincang – Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

Jika betul KJ berminat, kita bincang – Ahmad Faizal

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Pre­siden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan tiada perbincangan serius antara parti tersebut dengan Khairy Jamaluddin berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Besar Pe­rak itu bagaimanapun berkata, perbincangan secara serius boleh dijalankan antara Khairy dengan Bersatu jika bekas Menteri Kesihatan tersebut betul-betul berminat untuk bertanding.

“Tak ada perbincangan serius tentang perkara itu (calon PRN di Selangor). Kalau KJ (Khairy) berminat nak bertanding menggunakan logo kami, tentu beliau akan ajak berbincang.

“(Bagaimanapun) setakat ini, tiada,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan berita Utusan Malaysia susulan pendedahan Ketua Pe­nerangan Bersatu, Datuk Razali Idris bahawa parti tersebut ada menawarkan Khairy sebagai calon pada PRN ini.

Razali berkata, tawaran tersebut dibuat oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Khairy.

Menurut beliau, bekas Menteri Kesihatan tersebut ada berkunjung ke rumah Muhyiddin selepas dipecat daripada UMNO untuk membincangkan masa depannya dalam dunia politik tanah air.

“Dalam pertemuan itu, Tan Sri Muhyiddin menawarkan kepada Khairy untuk bertan­ding atas tiket Bersatu dalam PRN jika beliau masih berminat dalam politik.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat ditetapkan antaranya beliau perlu menghantar borang sebagai ahli Bersatu terlebih dahulu dan kerusi yang ditandinginya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Ketika ditanya berhubung penerimaan parti jika bekas Ke­tua Pemuda UMNO itu berminat bertanding menggunakan logo Bersatu, Ahmad Faizal berkata, setiap calon akan melalui beberapa tapisan dan ia bagi memastikan calon PN adalah berwibawa membawa mandat rakyat.

“Kami juga terpaksa melalui pelbagai tapisan kerana di dalam Bersatu Selangor, kami mempunyai ramai pemimpin berbakat besar yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai calon dan mampu me­mimpin kerajaan negeri apabila menang, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN