Jenazah Koperal Mohammad Nasri selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Koperal Mohammad Nasri selamat dikebumikan

JENAZAH Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Mertajam, Penaga, Pulau Pinang, kira-kira pukul 5.25 petang tadi. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Jenazah Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Mertajam, Penaga, di sini petang tadi.

Lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan rakan sekerja mengiringi jenazah yang tiba di pekarangan Masjid Jamek Pulau Mertajam pukul 5.25 petang.

Terdahulu, jenazah yang siap dimandi dan dikafankan itu dibawa dengan van milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak ke kampung halamannya di sini, kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan masjid apabila jenazah dibawa untuk disembahyangkan oleh ratusan jemaah dan penduduk setempat.

Suasana pilu turut menyelubungi tanah perkuburan apabila ibu Allahyarham Mohammad Nasri, Fadzilah Abu Bakar dan isteri, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib menyiram air mawar di pusaranya.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Panglima 4 Div, Mejar Jeneral Anuar Abdul Wahab dan Panglima 11 Div, Brig Jen Shahir Hafizul Abd. Rahman.

Difahamkan, arwah amat disenangi oleh rakan sepasukan dan memiliki perwatakan yang ceria.

Sementara itu, Fadzilah ketika ditemui berkata, beliau berkesempatan menatap wajah anak tunggalnya ketika melakukan proses pengecaman di bilik mayat.

“Syukur semuanya telah selesai. Saya reda dengan pemergiannya kerana kalau saya tidak reda, saya takkan tenang,” katanya ringkas.

Semalam, media melaporkan Mohammad Nasri, 33, yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi bersama lima anggota lain di kawasan pedalaman Hutan Simpan Royal Belum, Gerik dijumpai meninggalkan dunia kira-kira pukul 10.15 pagi.

Mayat anggota dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang itu dijumpai dalam keadaan sempurna di dalam hutan dan berdekatan sungai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya