PETALING JAYA: Pelakon, Amelia Handerson tampil mempertahankan rakan selebriti, Janna Nick selepas video temu bual mereka menerusi program Sembang Studio tular dan mendapat kecaman.
Jelas Amelia, tindakan Janna yang tergelak selepas mebangkitkan isu work life balance adalah kerana pelakon itu sedar kerja keras yang telah ditempuhi untuk mencapai kedudukannya sekarang.
“Bila anda datang daripada latar belakang yang mempunyai masalah kewangan, sebelum fikir tentang keseimbangan kerja dan hidup, anda fikir bagaimana nak cari makan untuk diri sendiri dan keluarga.
“Dari latar belakang kehidupan itu Janna hadir. Dia tak gelakkan sesiapa yang mahu work life balance. Dia tahu kerja kerasnya selama ini. Semata-mata untuk hidup dengan seimbang,” ujarnya.
Terdahulu, nama Janna dan Amelia tular di media sosial apabila segelintir warganet mempersoal tindakan pelakon dan penyanyi itu dilihat seperti merendahkan glongan muda yang mahu keseimbangan kerja dan hidup.
Dalam pada itu, Amelia juga menambah, setiap orang mempunyai pendapat masing-masing dan apa yang dinyatakan oleh Janna dalam episod tersebut adalah tentang diri serta kehidupannya.
“Kita semua ada pendapat, terdapat orang yang tak kejar wang ringgit dalam hidup, itu semua okey sahaja.
“Episod kali ini tentang perjalanan hidup Janna. Saya setuju dengan apa yang dia cakap sebab merasakan ada juga orang di luar sana melakukan hal sama.
“Ambil hal yang positif sahaja. Okey sahaja jika tidak setuju dengan pendapat ini. Pendapat anda yang sesuai untuk diri sendiri,” katanya.