Isu KXP: Belum ada permintaan Kerajaan Negeri Kedah bincang, bertemu

Isu KXP: Belum ada permintaan Kerajaan Negeri Kedah bincang, bertemu

ANTHONY Loke bergambar bersama pemandu e-hailing di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan belum menerima sebarang permohonan daripada Kerajaan Negeri Kedah untuk berbincang mengenai cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, setakat ini Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor belum memohon untuk mengadakan pertemuan berkaitan perkara berkenaan.

“Tiada apa-apa langsung (sebarang permohonan cadangan), tiada perkembangan baharu berkait isu ini, malah belum ada permintaan (untuk bertemu),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Vakasional Kenderaan Perkhidmatan Awam E-Hailing di sini hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memaklumkan belum menerima permohonan aerodrome secara rasmi berhubung Projek Kedah Aerotropolis yang membabitkan pembangunan lapangan terbang di negeri itu.

Loke dilaporkan berkata, soal kerajaan menolak pembangunan projek itu tidak berbangkit kerana permohonan aerodrome secara rasmi belum dibuat.

Susulan itu kerajaan negeri menjelaskan belum ke peringkat memohon lesen operator aerodrome (AOL) kepada Kementerian Pengangkutan, sebaliknya memohon kelulusan membina lapangan terbang.

Muhammad Sanusi berkata, AOL yang menjadi lesen pengurusan ruang angkasa hanya boleh dipohon operator lapangan terbang sebelum operasi penerbangan dapat dimulakan.

Katanya, pada peringkat perancangan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), permohonan mendapatkan AOL tidak perlu dibuat lagi.

Muhammad Sanusi juga turut memaklumkan hasratnya untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberikan penerangan secukupnya berhubung pembangunan projek KXP.

Malah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, awal bulan lalu, menyeru Kerajaan Persekutuan menyokong pembangunan projek KXP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya